Zaman Gelap Sepaktakraw Kita

JURULATIH juga perlu didedahkan dengan ilmu secukupnya ke arah membantu meningkatkan mutu sukan sepak takraw negara. – Gambar Kosmo

KEGAGALAN membawa pulang sebutir pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia bulan lalu memberi tamparan yang hebat buat sukan sepak takraw negara.

Selain jurulatih dan barisan pemain skuad elit itu, pemimpin tertinggi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) turut menerima tempiasnya.

Selepas hampir sebulan temasya itu berlalu, kegagalan tersebut masih lagi menjadi topik hangat dalam kalangan pemerhati dan pengkritik sukan tanah air.

Kesempatan ini juga digunakan sepenuhnya oleh musuh-musuh PSM untuk mengkritik dan mendesak barisan pemimpin tertinggi persatuan tersebut supaya meletak jawatan.

Beberapa individu termasuk bekas jurulatih dan pemain negara mendakwa Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail perlu bertanggungjawab atas kekalahan memalukan itu.

Sebagai balasannya, Ahmad perlu meletak jawatan untuk memberi ruang kepada individu yang lebih berwibawa bagi memimpin badan induk sukan tradisi orang-orang Melayu itu.

Bagaimanapun, bercakap memang mudah tetapi untuk menghadapinya cukup sukar.

Ini kerana, budaya menuding jari kepada orang lain sudah sebati dalam kehidupan harian masyarakat di negara ini.

Persoalannya, adakah dengan peletakan jawatan Ahmad itu nanti mampu memulihkan kegemilangan sukan tersebut yang sudah mula tercalar.

Sekiranya benar, siapa agaknya individu yang layak mengambil alih kepimpinan PSM, sekali gus dapat mengubah masa depan sukan sepak takraw negara ini.

Ia mungkin terjawab malam ini apabila beberapa pemimpin tertinggi persatuan negeri dan ahli gabungan bakal mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur.

Selain kemerosotan prestasi para pemain, isu peletakan jawatan itu juga dijangka menjadi topik hangat perbincangan dalam kalangan ahli-ahli majlis badan induk persatuan sepak takraw negara ini.

Namun, beberapa pemimpin tertinggi yang dihubungi Kosmo! memberi pandangan berbeza mengenai isu tersebut.

Naib Presiden 1 PSM, Datuk Tengku Muhammad Sultan Abu Bakar berkata, beliau enggan memberi sebarang komen kerana ia dilihat bakal mengeruhkan lagi situasi tersebut.

“Saya sudah lama tidak ‘bersama’ PSM kerana mengalami masalah kesihatan. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berdiam diri.

“Atas faktor kesihatan juga, saya bersedia melepaskan jawatan selaku Naib Presiden 1 PSM, sekali gus memberi tumpuan sepenuhnya kepada persatuan negeri,” kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNT) itu.

Naib Presiden II, Datuk Awang Sham Amit pula berpendapat, sudah sampai masanya ahli jawatankuasa PSM mengundurkan diri, sekali gus memberi peluang kepada individu lain untuk memimpin dan memajukan sukan tersebut.

Katanya, kegagalan pada Sukan SEA 2011 di Indonesia bulan lalu memberi gambaran yang amat jelas bahawa kepimpinan PSM ketika ini tidak lagi berkemampuan untuk memikul tugas tersebut.

“Bukan sahaja pemain, bekas pemain, peminat dan pemerhati sukan serta pemimpin tertinggi negara juga berasa kecewa dengan kemerosotan skuad negara di peringkat antarabangsa.

“Jadi, saya rasa sudah sampai masanya ahli jawatankuasa PSM termasuk presiden mengundurkan diri. Perkara ini akan saya bangkitkan dalam mesyuarat yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur malam esok (malam ini).

“Atas kapasiti Naib Presiden PSM, saya bersedia meletak jawatan dan berharap rakan-rakan seperjuangan yang lain turut berbuat demikian. Sudah terlalu lama persatuan ini bergolak.

“Kita perlu sedar, ada orang tidak sukakan kita. Jadi, kita perlu memberi peluang kepada individu lain untuk memimpin,” kata Awang Sham yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Sabah (Astaka).

Awang Sham berkata, beliau yakin ramai individu di luar sana yang boleh memimpin persatuan ini tetapi sedikit perubahan perlu dilakukan, terutamanya yang berkaitan dengan perlembagaan.

Untuk rekod, Awang Sham pernah menggalas tugas selaku pengurus pasukan pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Sementara itu, Naib Presiden IV, Datuk Dr. Paruwadi Musa berkata, isu peletakan jawatan Ahmad hanya satu mainan politik dan dicetuskan oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.

“Jangan campuradukkan sukan dengan politik. Kita sepatutnya berfikir bagaimana cara untuk memajukan sukan tradisi orang- orang Melayu ini. Sukan ini sedang menuju ke era profesional.

“Persoalan utama, sekiranya Ahmad mengundurkan diri, siapa calon yang lebih layak dan terbaik untuk menggantikan tempat tersebut?

“Sebenarnya, beliau (Ahmad) tidak ada masalah untuk meletak jawatan. Beliau tidak ada apa-apa kepentingan. Beliau cuma sayangkan sukan ini dan sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk kemajuan sukan ini,” kata Paruwadi yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS).

Menurut Paruwadi, kemerosotan sukan sepak takraw di negara ini bukan berpunca daripada presiden, pengurus atau jurulatih.

Sebaliknya, sikap para pemain itu sendiri yang menyebabkan mutu sukan ini semakin merudum sejak akhir-akhir ini.

“Segala-galanya tidak akan menjadi tanpa kerjasama dan semangat para pemain itu sendiri. Apa yang saya lihat, kegagalan skuad negara berpunca daripada tiadanya semangat juang yang tinggi dalam diri para pemain.

“Kekurangan ini dapat dilihat dengan jelas, terutamanya pada temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia bulan lalu. Para pemain negara kelihatan lesu, tidak bermaya dan seolah-olah belum bersedia untuk menghadapi perlawanan penting tersebut.

“Persatuan menerusi jurulatih dan pengurus telah melakukan segala-galanya tetapi sikap para pemain itu sendiri yang menyebabkan mereka tewas.

“Saya tidak berdiri teguh di belakang Ahmad tetapi akan memberi sokongan padu kepada individu yang boleh buat kerja. Ahmad memiliki ciri-ciri yang diperlukan itu,” kata Paruwadi yang menggalas tugas selaku pengurus skuad wanita pada Sukan SEA lalu.

Paruwadi menegaskan, secara peribadi beliau beranggapan sesiapapun yang memegang jawatan presiden akan berdepan masalah sekiranya sikap berpolitik wujud dalam persatuan tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PSM, Mohd. Shapian Ali menganggap pemecatan Ahmad bukan jalan penyelesaian terbaik.

Sebaliknya, Shapian yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) menegaskan, semua persatuan negeri perlu bangkit dan mengadakan program pembangunan masing-masing.

“Tidak ada kejohanan atau program pembangunan dibuat oleh persatuan-persatuan negeri menyukarkan PSM untuk mencari pemain bagi mewakili negara,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kemerosotan prestasi skuad negara di pentas antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Menurut Mohd. Shapian, beliau yakin negara dapat melahirkan pemain-pemain baharu melalui program pembangunan sekiranya persatuan-persatuan negeri bergerak aktif dan tidak berpeluk tubuh.

“Tiada langsung program dan kejohanan menyebabkan kita ditinggalkan oleh negara- negara lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, PSM juga perlu melihat semula keupayaan jurulatih-jurulatih yang ada kerana sukan itu sekarang semakin pantas berkembang.

“PSM perlu tingkatkan ilmu pengetahuan jurulatih dengan ilmu-ilmu baharu.

“Kekecewaan pada Sukan SEA 2011 di Indonesia bulan lalu sepatutnya dijadikan iktibar dan pengajaran untuk mengembalikan semula kegemilangan sukan tersebut,” jelas beliau.

Sumber : Kosmo Online

17hb Dec 2011