Wajah Baru Skuad Elit

BARISAN pemain skuad elit wanita ini akan bertukar wajah pada Januari depan. – Gambar Kosmo Online

TIDAK ada istilah pilih kasih.Semua pemain skuad lelaki dan wanita elit negara perlu melalui proses pemilihan semula sebaik sahaja kontrak mereka tamat pada 31 Disember ini.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) membuat keputusan drastik itu selepas skuad negara dikritik hebat berikutan kekalahan yang mengaibkan pada Sukan SEA 2011.

Pada temasya di Palembang, Indonesia bulan lalu, skuad negara hanya berjaya membawa pulang dua pingat gangsa.

Skuad bimbingan ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan itu tidak menampilkan aksi yang memberasangkan sepanjang temasya itu berlangsung, sekali gus gagal membawa pulang sebutir pingat emas yang diharapkan.

Hasil post-mortem yang dilakukan mendapati kekalahan itu berpunca daripada tiadanya semangat juang yang tinggi dalam diri para pemain.

Kekuatan mental para pemain juga berada di tahap yang paling rendah meskipun pada hakikatnya mereka memiliki kelebihan dari segi fizikal dan taktikal untuk menewaskan pasukan lawan.

Namun, kedudukan di ‘zon selamat’ mungkin menjadi punca utama para pemain tidak menunjukkan disiplin yang positif seperti mana yang diharapkan.

Para pemain mungkin merasakan bahawa situasi mereka dalam skuad negara ‘sangat selamat’ dan tidak akan tergugat kerana tiada pencabar atau pemain yang lebih baik bagi menggantikan tempat mereka sekiranya digugurkan.

Mungkin ketika itu, hanya 17 pemain di senaraikan dalam skuad lelaki dan ketiadaan pesaing yang hebat menyebabkan ada dalam kalangan pemain merasakan diri mereka sudah selamat.

Hanya itu pemain yang kita ada. Sama ada suka atau tidak, Malaysia terpaksa bergantung nasib kepada barisan pemain ini.

Lantaran itu, ahli-ahli Majlis Tertinggi PSM yang bermesyuarat di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu sependapat untuk melakukan rombakan secara besar- besaran ke atas skuad elit negara.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama PSM membuat rombakan ke atas skuad elit sejak Datuk Ahmad Ismail dilantik sebagai presiden pada tahun 2003.

Secara kebetulan, kontrak para pemain akan tamat pada akhir bulan ini dan peluang itu digunakan sepenuhnya untuk merombak serta membentuk semula skuad yang lebih berdaya saing di rantau Asia Tenggara dan Asia.

Bagaimanapun, pemain yang menunjukkan kemajuan, kesungguhan dan semangat juang tinggi masih berpeluang untuk menyarung jersi Malaysia.

Namun, satu-satunya peluang terbaik mereka untuk kembali berada dalam skuad elit adalah dengan menampilkan persembahan yang cemerlang pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden PSM 2012 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 21 hingga 24 Januari depan.

“Kejohanan ini dianggap sebagai medan terbaik bagi menjalankan pemilihan pemain untuk menggalas cabaran negara pada masa hadapan,” kata Ketua Seranta, Yusoff Ali.

“Sasaran PSM adalah untuk membentuk skuad yang lebih mantap bagi mengembalikan semula kegemilangan sukan sepak takraw di negara ini.

“Kini, misi utama PSM adalah memenangi pingat emas pada temasaya Sukan SEA 2013 di Naypyidaw, Myanmar dan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.”

Mengulas lanjut mengenai Piala Presiden PSM 2012, Yusoff berkata, sebanyak tiga kategori bakal dipertandingkan iaitu veteran, wanita dan terbuka.

“Dalam kategori veteran terdapat empat peringkat umur iaitu 35 hingga 40 tahun, 41 hingga 47 tahun, 48 hingga 55 tahun dan 56 tahun ke atas.

“Kami yakin kejohanan ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan, terutamanya dalam kalangan para peminat sukan sepak takraw negara.

“Sudah tentu, penyertaan yang ramai ini memberi peluang yang lebih besar untuk kami mengintai dan mengenal pasti pemain- pemain yang berbakat.”

Dalam masa yang sama, Presiden PSM, Ahmad Ismail mempunyai program pembangunan jangka panjang yang menampilkan pembabitan di peringkat akar umbi, termasuk kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Ahmad turut bercadang untuk membentuk tiga skuad yang berlainan dalam usaha memantapkan semula sukan ini.

Begitupun, impian untuk mewujudkan skuad pelapis bawah 17 tahun, skuad pelapis kebangsaan bawah 21 tahun dan skuad elit bergantung kepada persetujuan bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Sama ada suka atau tidak, MSN perlu bekerjasama dengan PSM dalam merealisasikan impian ini kerana ia dilihat sebagai strategi terbaik dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan sukan ini pada masa hadapan.

Ketiadaan skuad ini juga dikenal pasti sebagai punca utama kemerosotan sukan sepak takraw negara sejak akhir-akhir ini.

Ahmad berkata, beliau akan mengemukakan cadangan untuk meletakkan para pemain skuad pelapis bawah 17 tahun di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), manakala skuad pelapis kebangsaan bawah 21 tahun dan skuad elit di MSN Bukit Jalil.

Selain itu, MSN juga perlu meluluskan cadangan untuk menyenaraikan 36 pemain dalam skuad elit seperti mana yang diminta PSM sebelum ini.

Namun atas sebab-sebab tertentu, permintaan PSM ini tidak diendahkan oleh MSN dan hasilnya dapat dilihat dengan jelas apabila skuad negara mengalami kekalahan yang mengaibkan pada temasya Sukan SEA 2011 bulan lalu.

Dalam skuad elit juga perlu ada pasukan A dan B bagi mewujudkan ‘budaya saing’ yang tinggi dalam kalangan pemain.

Mungkin dengan cara ini, para pemain akan bekerja lebih keras bagi meningkatkan prestasi masing-masing kerana pemain yang gagal mencapai tahap sebenar tidak akan dihantar menyertai kejohanan besar.

Menurut Ahmad, PSM berharap MSN akan memandang serius cadangan ini kerana mereka adalah badan yang bertanggungjawab untuk meningkatkan prestasi sukan tanah air.

Sekiranya MSN tidak memiliki keupayaan, terutamanya berpunca daripada kekangan kewangan, siapa yang harus bertanggungjawab?

Selama ini, PSM hanya menerima suntikan kewangan (geran tahunan) daripada KBS yang disalur menerusi MSN untuk menampung kos semua program tahunan dan kos operasi persatuan itu sebanyak RM84,000 setahun.

Jangan hanya pandai menuding jari kepada PSM setiap kali skuad negara mengalami kekalahan di pentas antarabangsa, terutamanya kepada seteru utama, Thailand.

Kini, bukan hanya skuad ‘Gajah Putih’ itu yang menjadi pencabar utama anak-anak buah Jamaluddin tetapi beberapa negara yang sebelum ini dianggap kedil di rantau Asia Tenggara seperti Myanmar, Vietnam, Laos dan Indonesia.

Begitu juga pencabar di rantau Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan yang sudah mula menunjukkan peningkatan mendadak.

Namun, sentuhan ‘ajaib’ Ahmad Jais Baharun, Iskandar Arshad dan Abdul Malik Samsudin yang memenangi pingat emas dalam acara regu pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun diharap mampu mengembalikan semula kegemilangan skuad negara.

Ketiga-tiga bekas pemain ini dilantik sebagai jurulatih untuk membimbing skuad elit bersama ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan bermula pada Januari ini.

Oleh sebab itu, skuad elit tidak boleh memberi sebarang alasan sekiranya mereka gagal membawa pingat emas pada Sukan SEA 2013 dan Sukan Asia 2014.

PSM sudah ‘berkorban’ segala-galanya termasuk kemudahan penginapan, elaun, latihan yang sistematik, menyertai kejohanan kompetitif dan sentuhan jurulatih berpengalaman.

Kini, terpulang kepada pemain yang akan dipilih pada Januari depan untuk menentukan masa depan sukan sepak takraw negara yang dianggap sebagai sukan tradisi orang- orang Melayu ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, Majlis Tertinggi PSM turut mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontrak 12 pemain, masing-masing enam dari skuad lelaki dan wanita sehingga akhir Februari depan.

Ia bagi membolehkan PSM untuk meneruskan program latihan menjelang Super Siri 2 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Palembang, Indonesia pada 23 hingga 26 Februari 2012.

Kesemua pemain yang dipilih ini berusia sekitar 21 tahun dan tujuan utama menghantar mereka adalah untuk memberi pendedahan.

“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menang kerana kejohanan ini sekadar memberi pendedahan kepada para pemain. Para pemain ini masih muda dan mereka perlu mengutip pengalaman,” kata Ahmad.

Sumber : Kosmo Online

21hb Dec 2011