Usah Jadikan Kami ‘Kambing Hitam’

PSM tak wajar jadikan kami mangsa bagi selamatkan diri daripada kekalahan memalukan.

PUAS memendam rasa, akhirnya tekong berpengalaman skuad sepak takraw negara, Nor Azman Abdul Hamid menyuarakan apa yang terbuku di hatinya, semalam.

Tekong yang terkenal dengan panggilan ‘Man Kuda’ itu mengingatkan pemimpin Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak menjadikan dia dan rakan-rakannya sebagai mangsa bagi ‘menyelamatkan’ diri berikutan kekalahan memalukan di Sukan SEA XXVI, bulan lalu.

“Hati saya sedih kerana PSM berulang kali menuding jari dan menyalahkan pemain dengan menuduh kami tidak mempunyai semangat juang tinggi ekoran kekalahan memalukan itu. Saya mahu tegaskan mana ada pemain yang bermain mahu kalah, apa lagi, membabitkan imej serta maruah negara.

“Namun, saya tidak hairan dengan sikap PSM kerana inilah watak sebenar mereka sejak dulu hingga sekarang. Ketika pasukan menang, mereka ibarat seperti ‘lebih sudu daripada kuah’ apabila lebih menonjolkan diri daripada pemain, tetapi apabila kalah, pemain dijadikan mangsa,” katanya.

Nor Azman, 28, berkata keaiban kalah kepada tuan rumah Indonesia tidak harus diletakkan di bahu pemain, sebaliknya PSM juga perlu bertanggungjawab.

“Namun, pernahkah PSM muhasabah diri setiap kali skuad negara kalah? Saya mahu tanya pernahkah mereka menjenguk kami berlatih, mengambil tahu masalah pemain serta mengambil berat mengenai kebajikan kami?

“Saya tidak mahu memalukan sesiapa, tetapi jika mahu menyediakan jersi untuk pemain pakai pun susah, apalagi, nak bagi elaun tambahan kepada pemain. Saya nak bagi tahu, kami semua hanya bergantung sepenuhnya elaun yang diberi Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

22hb Dec 2011