Tidak Tahu Punca Dilucutkan Jawatan – Datuk Mohd Salim Abd Bari

DATUK Mohd. Salim Abd. Bari – Gambar Utusan

DATUK Mohd. Salim Abd. Bari seperti ‘adik dan abang’ dengan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail termasuk di arena politik Pulau Pinang tetapi hubungan mereka dikesan renggang sejak Piala Dunia, Julai lalu.

Pelantikan Abdul Jalil Ariffin sebagai Bendahari baru PSM dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, Sabtu lalu sekali gus menyingkirkan Mohd. Salim. Kepada wartawan Utusan Malaysia, ABDUL HAFIZ AHMAD, Mohd. Salim meluahkan perasaan berhubung pelucutan jawatan Bendahari PSM yang disandangnya sejak 2003 itu.

UTUSAN: Benarkah Datuk tidak tahu-menahu tentang pelucutan jawatan Bendahari PSM itu sehingga mesyuarat Majlis Tertinggi selesai Sabtu lalu?

SALIM: Saya memang tidak tahu dan tidak dimaklumkan sesiapa daripada PSM bahkan mengenai berlangsungnya mesyuarat itu tetapi mungkin ada benda (sebab pertukaran penyandangnya) yang tidak mahu dinyatakan kepada saya. Bagi saya ia kuasa Presiden PSM. Itu juga hak mutlaknya.

Datuk ada masalah tertentu dengan Presiden PSM secara peribadi?

SALIM: Jika ada masalah pun, kita boleh berbincang tetapi saya boleh katakan yang saya pernah dihalang hadir sebarang aktiviti PSM sejak Mei lagi. Dalam Piala Dunia pun, saya tidak dilibatkan dan saya kerap diketepikan kemudiannya. Namun saya tidak berdendam malah saya mengucapkan selamat berjaya buat PSM. (Pelucutan jawatan) hanya perkara kecil dan tidaklah penting sangat.

Selama tiga penggal Datuk bersama PSM malah sudah diiktiraf sehingga menyandang jawatan kanan Astaf, Datuk terasa kehilangan sesuatu atau alangkah ruginya PSM?

SALIM: Biarlah orang lain yang menilainya jika mereka tahu apa peranan saya ketika PSM digantung oleh Istaf (kerana membantah bola Marathon, memulaukan Sukan SEA Korat 2007 dan cuba keluar Istaf) sampai pernah dihadapkan ke tribunal di Bangkok. Ketika itu maruah sepak takraw negara, maruah Presiden dan PSM terlibat. Ada ketikanya juga saya diarahkan menyelesaikan beberapa masalah termasuk menjana sumber dana PSM dan saya percaya ramai ahli gabungan tahu.

Bagaimana peranan Datuk dalam Astaf selepas dibuang dari PSM?

SALIM: Sebagai Naib Presiden Astaf, saya masih boleh mengangkat sepak takraw ke tahap yang lebih tinggi. Saya ada cara untuk membantu sukan ini. Saya sudah menyiapkan undang-undang sepak takraw baru, tikam tuju dan ketika videonya ditayangkan pada Piala Raja Thai 2010 di Chiang Mai, banyak negara memberikan sambutan. Saya rasa ia boleh dijadikan acara pertunjukan pada Sukan SEA Myanmar 2013 dan selepas itu dipertandingkan dan menghasilkan pingat emas buat Malaysia.

Sejauh mana keseriusan Datuk membangunkan cabang tikam tuju di negara ini?

SALIM: Bola sepak takraw tempatan berjenama Salim sudah mempunyai peminat setia. Jualannya juga meningkat. Kami satu-satunya pengeluar bola tikam tuju. Selagi ada peminat setianya, satu hari ini mungkin wujud sebuah persatuan khas sepak takraw tikam tuju Malaysia. Saya pernah menganjurkan sebuah pertandingannya di Kedah yang disertai 1,500 orang, tahun lalu dengan menggunakan konsep tersendiri.

Sumber : Utusan Malaysia Online

20hb Dec 2011