Terengganu Juara Piala Emas Khir Johari Ke-49

Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-49

Strategi bertahan dan menyimpan tekong terlebih dulu, membawa Terengganu menjulang Piala Emas Khir Johari buat kali pertama pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Ke-49 di Dewan Majlis Perbandaran Manjung, Perak, kelmarin.

Skuad bimbingan Ahmad Mohd. Zin membenam juara bertahan, Selangor 2-0 dalam perlawanan akhir untuk meraih RM5,000 pada kejohanan berpasukan tertua di dunia itu, sekali gus menghampakan hajat lawan untuk mencipta rekod penyandang terbanyak, 12 kali.

Biarpun diheret ke set penentuan oleh Selangor yang dibarisi ramai pemain elit dan bekas pemain berpengalaman antarabangsa, Terengganu tetap kental untuk memenangi kedua-dua regu, (15-10, 11-15, 15-9) dan (15-6, 10-15, 15-12) dalam tempoh 160 minit.

“Bagi regu kedua, kami menurunkan dua pengumpan terlebih dulu, Zulhafizazudin Rosslan dengan Mohd. Faiz Jalal di tempat tekong tetap, Zulkifli Abd. Razak manakala pelibas, Fadzli Roslan dan ternyata strategi menyerap asakan lawan menjadi, malah dibantu kurangnya kesilapan servis.

“Kami juga banyak menekankan pertahanan dan persefahaman apabila menentang Selangor, selain mencapai kemantapan regu sejak mereka menimba pendedahan pada Piala Ahmad Ismail Siri 2/2012 (di Kuala Lumpur, bulan lalu).

“Kemenangan bersejarah ini juga hasil latihan pesat dua minggu sebelum kejohanan, selain dua minggu sesi persahabatan dengan kelab Thailand di Bangkok, Februari lalu,” kata Ahmad yang turut menurunkan lima pemain muda Sukan Malaysia.

Regu pertama Terengganu dianggotai dua bekas pemain negara, Muhammad Syazwan Husin dan Mohd. Hamikhairi Roslan serta Safarudin Abu Bakar menewaskan Ahmad Sufi Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam selepas bertarung selama 85 minit.

Selepas mengatasi regu terkuat Selangor yang dibarisi dua pemain negara, Norshahruddin dan Farhan, Ahmad yang dibantu jurulatih Thailand, Vitthaya Boontha nekad menurunkan regu kedua yang tetap mampu menumpaskan Noor Azman Hamid, Futra Ghani dan Ariff Ramli.

Pencapaian terbaik Terengganu dalam Piala Emas Khir Johari sebelum ini hanyalah naib juara tiga kali berturut-turut, 2007 di Alor Setar dan 2008 di Kuala Terengganu dan 2009 di Kuala Lumpur.

Terdahulu pada separuh akhir mereka menewaskan juara 2010, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 (15-9, 15-11) (15-11, 15-8), sementara Selangor yang pulang bersama RM3,000, mengatasi Kelantan 2-0 (15-7, 11-15, 15-11) (16-14, 15-6).

PDRM dan Kelantan masing-masing meraih RM1,000 sebagai pemenang tempat ketiga bersama,manakala empat pasukan yang kalah di suku akhir – ATM, muka baru Putrajaya, Pulau Pinang serta Kuala Lumpur mendapat hadiah saguhati RM500.

Terengganu, naib juara Liga Siri Super PSM, Disember lalu, juga kekal tanpa kalah sepanjang kejohanan empat hari ini dengan menumpaskan Negeri Sembilan, Kedah dan Putrajaya 3-0 serta Perak 2-1 (Kumpulan D) dan Kuala Lumpur 2-0 (suku akhir).

Sumber : Utusan Online

10hb Apr 2012