Tekong emas 2005 perkasa PDRM

Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-49

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal kembali disegani selaku antara empat pasukan pilihan Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-49 yang bermula esok dengan kehadiran dua tekong emas Sukan SEA 2005 – Normanizam Ahmad dan Saifuddin Husin.

Malah, pertembungan mereka dengan rakan regu Sukan SEA itu, Futra Ghani dari Selangor pada perlawanan pusingan awal esok pasti dinanti-nantikan ramai penggemar sepak takraw di Dewan Majlis Perbandaran Manjung, Perak yang seolah-olah menjadi pembayang siapa juara dan naib juara Kumpulan A.

Pengurus pasukan PDRM, Asisten Supritendan Baharin Tahir berkata, turut dipanggil memperkuatkan pasukannya ialah apit kiri kedua skuad elit negara, Faizul Hairy Osman selain ramai tonggak berpengalaman antarabangsa seperti Hafizie Manap, Amirul Azhar Roslan, Nurakmal Firdauz Ahmad dan Shaifullah Mohamed Nor.

“PDRM kali ini dilatih oleh Kamarul Azri Aziz dan Dian Zulkarnain Amin (bekas jurulatih skuad pelapis negara),” katanya kepada Utusan Malaysia sambil berharap anak buahnya mampu menjuarai Kumpulan A yang turut mengandungi Melaka dan Perlis, bagi mencerahkan laluan suku akhir mereka, Sabtu ini.

Katanya, PDRM pada awalnya agak kekurangan pengumpan atau apit kiri bagi menghadapi kejohanan berpasukan tertua dunia itu tetapi sudah menemui pengisinya, Mohd. Faizal Adnan yang sebelum ini bertindak sebagai pelibas seperti mana bapanya, Raja Sepak Takraw Asia 1986, Adnan Saidin.

“Tahun lalu di Kuching, kami hanya sampai suku akhir,” katanya yang mengidam sejarah manis PDRM menjulang trofi berusia setengah abad itu di Bukit Jalil, dua tahun lalu dengan menewaskan Selangor 2-1.

Sementara itu, muka baru Putrajaya yang terpaksa berentap dengan lebih lawan dalam Kumpulan D berbanding kumpulan lain, dikatakan bakal menurunkan dua atau tiga bekas pemain kebangsaan dalam menghadapi naib juara Liga Siri Super 2011, Terengganu; Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Putrajaya (Pestap), Abu Amar Darus berkata, semalam, pihaknya bagaimanapun lebih suka merahsiakan identiti pemain berkenaan atas alasan strategi pasukan.

Sumber : Utusan Online

4hb Apr 2012