Takraw Perlu Tumpu Sekolah Sukan

Contohi Thailand yang bertumpu ke sekolah-sekolah sukan dalam membentuk barisan pelapis sepak takraw.

Maka, Malaysia pasti mampu kembali menyaingi dan merampas posisi No. 1 dunia milik musuh tradisi itu.

Pemilihan pemain kebangsaan sekarang yang semata-mata atas bakat semula jadi juga wajar diperbaiki manakala Jawatankuasa Pemilihan dan Kejurulatihan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) digesa kerap turun padang memantau perkembangan bakat-bakat baru di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Saranan ini disuarakan Ismail Atan, bekas apit kanan negara yang juga jurulatih Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar dan menerajui Johor menduduki tempat ke-10 Liga Siri Super PSM, baru-baru ini – kurang satu tangga ke Piala Perdana Menteri, Mac ini.

“Tidak banyak bezanya kita dengan Thailand tetapi kemahiran asas pemain lawan cukup kuat dan ia berpunca daripada tumpuan mereka mendapatkan pemain dari 17 sekolah sukan di sana. Habis sekolah, mereka sudah ada hala tuju,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Ismail yang pernah melatih Brunei dari 1995 hingga 2005 dengan pencapaian terbaik gangsa Sukan Asia Bangkok 1998 dan Sukan SEA Brunei 1999, menambah, skuad elit cuma ada satu produk SSTMI, Fadzli Roslan tetapi ke mana perginya yang lain-lain?

“Kita juga ada banyak sekolah sukan negeri seperti Bukit Nanas Terengganu atau Mutiara Impian Pulau Pinang, malah ada lepasan SSTMI ke pra universiti dan akhirnya, IPT. Mengapa tidak PSM memantau dan mendapatkan pemain-pemain ini,” katanya.

Jelasnya, alangkah bagus kalau lebih ramai bekas pemain negara yang sudah tidak bekerja tetap, diambil berkhidmat dengan sekolah-sekolah menerusi kerjasama PSM dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) sekali gus tidak lagi bergantung kepada guru sekolah sahaja.

“Sudah sampai masanya kita tukar trend melantik guru sebagai jurulatih pasukan sepak takraw sekolah. Mereka sudah berjawatan tetap tetapi jika bekas pemain diambil secara kontrak dengan ditetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) tertentu, pasti mereka berikan komitmen yang lebih jitu.

“Saya pernah membawa pasukan sekolah ke Batam, Indonesia dan mendapati mereka telah melaksanakannya selain mengatur program lima tahun dengan mencari 15 pemain terbaik setiap daerah. Kita pun sudah dikalahkan Indonesia dalam Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (Singapura 2011 dan Putrajaya 2010),” katanya.

Ismail, 58, atau digelar ‘Ismail Arab’ yang turut mencipta nama dengan Angkatan Tentera Malaysia pada era 80-an, menjelaskan, ada baiknya sekolah sukan negeri di Malaysia dihantar menyertai Sukan Sekolah-sekolah Sukan Thailand yang mempertandingkan kategori bawah 14, 16 dan 18 tahun.

“Kami turut bertanding dengan ditaja Majlis Sukan Johor dan menduduki tempat ketiga bawah 18 dalam temasya melibatkan 17 sekolah sukan Thailand selain sekolah Brunei di Suphanburi, pertengahan tahun lalu,” katanya yang membimbing SSTMI sejak 2006.

Jelasnya, PSM juga disaran selalu memantau Kejohanan MSSM (bawah 12, 15, 18 tahun), Sirkit SportExcel (tiga sirkit bawah 16), Grand Prix Piala Menteri Pelajaran (lima sirkit bawah 11, 14 dan 16) dan Sukan Antara Sekolah-sekolah Sukan Negeri yang diadakan setiap tahun.

Sumber : Utusan Online

4hb Jan 2012