Tak Sentuh Soal Letak Jawatan Presiden PSM

TIADA perbincangan mengenai soal letak jawatan.

Itu jawapan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Arshad Yahaya ketika ditanya mengenai Mesyuarat Majlis Tertinggi badan induk itu yang berlangsung sehingga lewat pagi, kelmarin.

Sebaliknya, apa yang menjadi tajuk perbincangan utama hanyalah berkisar mengenai takwim 2012, laporan Sukan SEA, hala tuju PSM dan isu semasa selepas skuad kebangsaan pulang tanpa kilauan emas daripada Sukan SEA XXVI Indonesia.

“Tidak ada menyentuh mengenai letak jawatan dan mesyuarat semalam (kelmarin) juga ada membincangkan isu semasa terutama campur tangan pihak luar termasuk bekas pemain yang dilihat mahu memecah-belahkan PSM.

Resolusinya, kami sebulat suara bersetuju setiap ahli perlu menjaga keharmonian dalam persatuan supaya tidak ada pihak ataupun individu mampu memporak perandakan PSM,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengenai bedah siasat terhadap prestasi hambar skuad kebangsaan di temasya dwitahunan itu dengan pencapaian hanya dua pingat gangsa, Arshad mengakui masih banyak lompong yang perlu ditutup segera andai mahu melihat pasukan kebangsaan kembali menyinar.

“Kita juga lihat kelemahan sekarang ini masih boleh diperbaiki. Ini termasuk aspek merencana program pembangunan dan pemilihan pemain akan datang,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

19hb Dec 2011