Skuad Elit Bakal Dirombak

Tulisan asal oleh Abdul Hafiz Ahmad (Utusan)

KUALA LUMPUR – ‘Jangka hayat’ majoriti pemain dalam skuad elit sepak takraw negara mungkin hanya bertahan sehingga tahun ini, selagi prestasi mereka masih merudum dalam Sukan SEA November ini seperti mana diaibkan Indonesia 2-3 dalam suku akhir Siri Super I di Bangkok, Sabtu lalu.

Tempat mereka mungkin diambil alih sepenuhnya oleh muka baru yang berusia bawah 18 dan 19 tahun.

Mereka akan diletakkan di bawah program jangka panjang yang dikendalikan dua perunding Thailand sekarang, khususnya bagi menghadapi Sukan Asia Incheon 2014 dan seterusnya.

Saranan ini disuarakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong (gambar) setelah mendapati tahap kemampuan pemain skuad elit sekarang di pentas antarabangsa bagaikan sukar dimajukan lagi ekoran kekalahan ‘malapetaka’ terbaru anak buah Jamaluddin Hassan itu.

“Itu sahajalah pemain yang kita ada malah ada yang sudah bertahun-tahun dalam skuad dan masih tidak meningkat atau boleh diturunkan. Ada yang servis pun masih tidak boleh masuk, bagaimana hendak bermain. Ada yang berlatih bagus tetapi bila tiba kejohanan mental jadi lemah.

“Kita sudah tukar jurulatih dua tiga kali (Haris Abd. Rahman, Iskandar Arshad dan Jamaluddin) selepas Laos (Sukan SEA 2009) dan Guangzhou (Sukan Asia 2010).

“Bagi jangka pendek ini (ke Sukan SEA), kita cuba tengok dulu prestasi mereka (skuad elit) lagi. Untuk jangka panjang ke Incheon dan selepasnya, kita mungkin gunakan khidmat dua perunding Thailand sekarang (Prawet Intar dan Taweet Wongkaen) untuk mengenal pasti bakat baru bawah 18 atau 19 tahun,” katanya pada sidang akhbar sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Bukit Jalil, semalam.

Tegas Zolkples, kekalahan Malaysia kepada Indonesia ini tidak wajar ditujukan semata-mata kepada Prawet yang turut hadir di Bangkok dengan membantu penolong jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun sementara Taweet dan Md. Fikri Md. Nor membimbing skuad wanita.

Malah tidak sampai 48 jam selepas Siri Super, gandingan Faizul Hairy Osman-Fadzli Roslan kecundang 0-3 (11-15, 16-17, 12-15) juga kepada Indonesia dalam acara beregu Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26 di gelanggang sama.

13hb Sep 2011