Siri Super 2 ISTAF – Jangan Letak Harapan Tinggi

JANGAN letak harapan tinggi. Itulah firasat jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Jamaluddin Hassan yang enggan peminat tempatan meletakkan penanda aras tinggi mengenai barisan pemainnya yang bakal menggalas cabaran di Siri Super 2 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Palembang, akhir Februari ini.

Walaupun mungkin ada perubahan berlaku daripada sudut barisan pemain baru namun baginya saingan itu boleh disifatkan sebagai medan ujian menilai kemampuan mereka selain memberi pendedahan bermakna.

“Memang kita mengharapkan mereka ini akan memberi yang terbaik. Walaupun begitu saya tidak mahu mengharapkan sesuatu yang terlalu tinggi. Pada saya cukuplah sekadar memberi sasaran mereka ini akan melakukan yang terbaik saja.

“Ia juga bergantung kepada undian nanti. Kalau kita menerima laluan yang mudah kita dapat mara dengan lebih jauh. Pada saya ia satu percubaan dan pentas ujian,” katanya.

Hanya enam daripada 16 pemain dikekalkan bersama skuad kebangsaan menghadapi saingan itu yang terdiri daripada Norshahruddin Mad Ghani, Farhan Adam, Faizul Hairy Osman, Fazil Mohd Asri, Tunku Noor Azwari Tunku Ishak dan Hanafiah Dolah seperti mana yang dipilih Majlis Tertinggi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), 17 Disember lalu.

Pada Siri ISTAF di Bangkok, Thailand September lalu, pasukan negara menamatkan saingan di peringkat suku akhir dengan ditewaskan Indonesia, 3-2 sehingga menyebabkan skuad kebangsaan sekali lagi menerima kritikan pedas selepas beraksi hambar tumbang kepada Thailand 3-0 di final Piala Dunia ISTAF Julai lalu.

Sumber : Berita Harian Online

28hb Dec 2011