Servis Kandas Hampakan Malaysia

Penyakit lama servis tekong yang terkandas, terkeluar malah dibatalkan beberapa kali menyekat hasrat Malaysia untuk mengejutkan Thailand pada perlawanan akhir Siri Super 2 Persekutan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) sehingga tumpas 0-3 di Palembang, Indonesia semalam.

Walaupun sempat meninggalkan juara dunia itu dengan beberapa mata dalam set pertama dan ketiga, anak buah Jamalluddin Hassan ini masih kecundang 9-15, 5-15, 8-15 dalam perlawanan selama 50 minit di Pusat Sukan dan Konvensyen Palembang sekali gus sekadar muncul naib juara kejohanan musim 2011/12.

Mohamad Fazil Asri, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam sepatutnya mampu menjinakkan regu Thailand (Siriwatsakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee) apabila meninggalkan lawan 4-0, dan 5-2 sebelum dirapatkan kepada 6-6 dalam set pertama sebelum Malaysia memasukkan apit kanan baru, Fadzli Roslan menggantikan Norshahruddin dan mendahului lagi dalam set ketiga sehingga 7-2, tetapi kesilapan sendiri menghukum mereka dengan pemberian mata percuma.

Thailand sebaliknya yang juga juara Siri Super 1 di Bangkok, September lalu terlalu unggul dengan keampuhan servis Siriwat, kemahiran bertahan Pattarapong serta libasan dan hadangan Pornchai yang sering menghampakan regu negara.

Sumber : Utusan Online

26hb Feb 2012