Seluar panjang ‘ributkan’ Sepak Takraw Siri Super PSM

Tulisan asal oleh Abdul Hafiz Ahmad (Utusan)

KUALA LUMPUR – Teraju Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Liga Siri Super PSM 2011 tetap bertahan di tangan Selangor selepas Sirkit II, minggu lalu di tengah-tengah kekecohan pertikaian seluar panjang seorang pemain Perak yang turut mencuri tumpuan di Dewan 2020, Kangar, Perlis.

Kemasukan skuad elit negara atau dinamakan PSM kali ini selepas menangguhkan Sirkit I di Melaka, Jun lalu, tampak menggugat juara Piala Emas Khir Johari 2011 itu yang hanya dipisahkan dengan dua mata, 16 berbanding 14 selepas lapan dan tujuh perlawanan masing-masing.

Malah, anak buah Jamaluddin Hassan yang cuba memulihkan semangat daripada malapetaka diaibkan Indonesia tiga kali di Bangkok, pertengahan bulan ini, berjaya menundukkan Selangor 3-0 dalam pertandingan liga berpasukan yang turut menyelitkan regu bawah 21 tahun ini.

Hanya Kuala Lumpur dan Kelantan sempat mencalarkan rekod kemenangan bersih PSM apabila cuma ditewaskan 1-2 manakala empat lagi perlawanan menyaksikan mereka mudah menewaskan Johor, Pulau Pinang, Perlis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0.

Selangor menerajui kedudukan mata sejak Sirkit I Siri Super tetapi pencabar terdekatnya di Melaka yang juga naib juara Piala Khir, Kuala Lumpur kini turun ke tangga ketujuh sementara tempat ketiga selepas aksi di Kangar menjadi milik Terengganu, terikat 14 mata dengan PSM.

Kedudukan ini disusuli dengan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) yang di Melaka lalu, menggunakan nama Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS) selain Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masing-masing di tempat kelima dan keenam.

Namun, agak mengecewakan ialah penarikan diri mengejut Melaka dan Pahang daripada Siri Super di Kangar ini sekali gus memaksa jawatankuasa pertandingan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) merombak dan membatalkan kesemua keputusan perlawanan lalu yang melibatkan mereka.

Sementara itu, selepas Perak menang 2-1, keputusan perlawanan itu diubah menyebelahi Kedah ekoran bantahan terhadap pemakaian seluar panjang ‘sut trek’ seorang pemainnya, Fauzi Ghazali yang didapati tidak menepati peraturan permainan yang ditetapkan PSM mahupun Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

Bekas tekong Sukan Asia Busan 2002 itu juga dikenakan kad merah dan dibuang daripada kejohanan oleh pengadil apabila masih berkeras memakainya sebelum menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan digantung daripada sebarang kejohanan anjuran PSM sehingga kesnya dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib.

Selain Piala Datuk Ahmad Ismail sebagai rebutan, Siri Super PSM turut menawarkan habuan RM20,000 kepada juara selepas tiga sirkitnya (termasuk di Pulau Pinang, Disember ini) manakala lapan terbaik liga, bakal berentap semula bagi pusingan kemuncak dan merebut Piala Perdana Menteri, tahun depan.

27hb Sep 2011