Selangor berdepan laluan getir

Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-49

KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Selangor berdepan laluan agak getir dalam Kumpulan A sementara naib juara Liga Siri Super 2011, Terengganu terpaksa berentap dengan lebih banyak lawan Kumpulan D pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-49 mulai Khamis hingga Ahad ini.

Menanti Selangor ialah juara Piala Khir 2010, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain Melaka yang sesekali mampu mengejutkan dan Perlis sementara muka baru Putrajaya, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah turut menganggotai Kumpulan D kejohanan di Dewan Majlis Perbandaran Manjung, Perak itu.

Naib juara tahun lalu, Kuala Lumpur dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menjadi pasukan pilihan Kumpulan B kejohanan berpasukan anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) ini sambil ditentang Johor yang kian meningkat serta Sabah manakala Kelantan, Sarawak, Pahang dan Pulau Pinang membentuk Kumpulan C.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan selepas liga sepusingan akan meneruskan cabaran pada peringkat kalah mati demi memburu trofi yang diperkenalkan pada 1962 itu dan ganjaran juara sebanyak RM5,000; naib juara RM3,000; ketiga bersama RM1,000 dan RM500 (kalah suku akhir).

Selangor dan ATM yang pernah menjulangnya 11 kali, kerap diperkuatkan ramai tonggak skuad elit negara atau bekas pemain berpengalaman antarabangsa selain masih segar selaku juara dan naib juara Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (Maksak) di Kota Bharu, dua minggu lalu.

Tiga pemain elit dalam skuad Selangor ialah Norshahruddin Mad Ghani, Farhan Adam dan Ali Alhamidi Ayob di samping Noor Azman Abdul Hamid, Ahmad Sufi Mohammed Hashim, Ridhuan Manaf, Zafran Zhariff, Mohd. Futra Abd. Ghani, Mohd. Azlan Mubin, Mohamad Arif Busu, Affandi Rahman dan Ariff Ramli.

Terengganu yang membuat persediaan dengan latihan di Bangkok, Februari lalu, bagaimanapun tetap digeruni apabila membariskan pemain berpengalaman seperti Syazwan Husin, Fadzli Roslan, Hamikhairi Roslan, Zulhafizazudin Rosslan dan Rosmadi Ghani serta Subha Latip selain dilatih Vitthaya Boontha dari Thailand.

Namun, kebanyakan pasukan khususnya negeri yang tanpa khidmat tonggak kebangsaan atau sekadar bermodalkan pemain belia, tetap menjadikan kejohanan berpasukan tertua dunia, Piala Emas Khir Johari ini sebagai medan persediaan menghadapi Sukan Malaysia di Pahang, Julai depan.

Sumber : Utusan Online

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

3hb Apr 2012