Sekat peruntukan PSM

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyekat peruntukan kewangan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) ekoran kekalahan memalukan pasukan negara kepada Korea Selatan pada perlawanan akhir Siri Super ISTAF di India, kelmarin.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia tidak mempunyai alasan untuk kalah dengan pasukan seperti Korea.

Beliau berkata, oleh itu peruntukan untuk PSM akan disekat selagi tiada pelan pemulihan dikemukakannya.

“Malulah, kita kalah dengan Korea Selatan. Saya sedang berfikir apa nak buat dengan PSM.

“Dengan kekalahan ini, saya tidak akan beri apa-apa peruntukan kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Kejohanan Bola Jaring 2013 anjuran Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM) di sini, semalam.

Khairy berkata, walaupun PSM meminta peruntukan terus daripada Perdana Menteri dan bukan melalui KBS, namun beliau akan meminta supaya peruntukan tersebut tidak diberikan.

Skuad Malaysia yang dikendalikan Nordin Sabarudin tewas 0-3 kepada Korea Selatan dalam kejohanan itu, sekali gus menjadikan Korea sebagai antara kuasa baharu sukan sepak takraw antarabangsa.

Khairy berkata, walaupun KBS tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam hal pentadbiran sesuatu pasukan sukan, namun daripada segi pemberian peruntukan, mereka masih mempunyai autoriti.

“Tindakan tegas ini bukan hanya kepada PSM, tetapi untuk semua persatuan yang tidak mempunyai perancangan yang baik dalam mengendalikan pasukan mereka,” katanya, yang turut menambah RM1 juta diperuntukkan kepada PSM setiap tahun.

Dalam perkembangan lain, beliau bersetuju dengan pendapat Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai kelemahan pasukan Malaysia ketika kalah 1-3 kepada Pakistan dalam perlawanan merebut tempat ketiga Piala Asia di Ipoh, kelmarin.

Beliau berkata, strategi serangan Malaysia tidak cukup tajam dan sering mendapatkan gol melalui pukulan sudut penalti.

Begitupun, Khairy tetap berpuas hati kerana Malaysia mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2014.

“Perkara ini saya nampak ada dalam perhatian jurulatih hoki kebangsaan, Paul Revington dan percaya beliau mempunyai banyak perancangan dan jika kita hendak berjaya dalam Piala Dunia tahun depan, kita mesti meningkatkan strategi serangan kita,” katanya

Sumber : BERNAMA

3hb Sep 2013