PSM rayu kaji kurangkan bantuan kewangan

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya menimbang semula keputusan untuk mengurangkan saluran kewangan (geran tahunan) kepada persatuan sukan itu ekoran daripada aksi hambar skuad sepak takraw pada Sukan SEA XXVI baru-baru ini.

Presidennya Datuk Ahmad Ismail berkata, PSM bergantung sepenuhnya kepada geran tahunan daripada KBS yang disalur menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menampung kos semua program tahunan dan kos operasi persatuan.

“Sekiranya KBS mengurangkan jumlah geran tahunan kita juga terpaksa mengurangkan program tahunan yang sedia ada bagi tahun 2012 kerana PSM tidak mempunyai dana kewangan besar seperti persatuan sukan porpular lain,” katanya semalam.

Katanya, beliau berharap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengkaji semula perkara itu sebelum mengambil tindakan memandangkan sukan sepak takraw adalah antara sukan tradisi Melayu yang mempunyai bilangan peminat yang ramai dalam negara.

“Adalah tidak adil jika peminat sepak takraw dihukum kerana kesilapan PSM dan skuad negara,” katanya.

Katanya, adalah tidak adil juga sekiranya tugas memajukan sukan itu hanya diletakan ke bahu PSM semata-mata kerana ianya bukan tugas yang mudah.

“KBS dan MSN perlu bantu kami dalam perkara ini dan saya sedia menerima sebarang cadangan daripada semua pihak termasuk orang ramai dalam usaha membangunkan sukan sepak takraw negara,” katanya.

Ahmad Shabery sebelum ini dilaporkan berkata KBS akan bertindak memotong peruntukan tahunan PSM dan persatuan sukan lain yang gagal menyerlah pada Sukan SEA XXVI di Indonesia baru-baru ini.

Sumber : Bernama

2hb Dec 2011