PSM Paling Beruntung

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menyifatkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai ‘persatuan paling beruntung’ di negara ini andai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan permohonan mereka mendapatkan peruntukan RM8.8 juta.

Ini kerana, menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong pihaknya tidak pernah memberi atau meluluskan peruntukan sebanyak itu kepada mana-mana persatuan sukan sebelum ini.
“Secara peribadi, kalau dapat, mereka (PSM) adalah persatuan yang paling beruntunglah. MSN tidak pernah bagi mana-mana persatuan RM8 juta secara sekali gus. Kalau dapat mereka sangat istimewa,” katanya semalam.

Ketelusan perbelanjaan

Beliau mengulas mengenai hasrat PSM yang mahu memohon peruntukan RM8.8 juta daripada Perdana Menteri untuk melaksanakan pelan pembangunan jangka panjang membangunkan semula sukan warisan berkenaan.

Namun, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata beliau akan menghalang permohonan itu kerana menyifatkan kerajaan tidak sepatutnya memberi apa-apa peruntukan kepada persatuan sukan jika mereka tidak ada prinsip ketelusan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahaya dalam reaksinya meminta Khairy supaya berfikir secara waras sebelum menyekat permohonan badan induk itu.
“Sudah tentu menteri tidak bersetuju dengan permohonan itu kerana minta duit dengan jumlah yang banyak, tetapi tidak menampakkan prestasi.

“Lagi satu, kalau mohon terus kepada Perdana Menteri, tidak melalui kementerian atau MSN, bagaimana nak kawal terutama berkaitan ketelusan perbelanjaan. Bagaimana mahu pastikan duit itu dibelanjakan dengan betul? Jadi itu yang Menteri (Khairy) tekankan,” kata Zolkples.

Sumber : Berita Harian

5hb Sep 2013