PSM Akan Pantau Perosak Imej Sepaktakraw

KUALA LUMPUR – Awas! Kepada mana-mana pihak yang cuba merosakkan imej sukan sepaktakraw dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), anda bakal berdepan tindakan menurut perlembagaan persatuan mahupun undang-undang negara.

Sebuah jawatankuasa khas yang bertujuan mengkaji bentuk tindakan tersebut, akan ditubuhkan dalam masa terdekat setelah mendapat persetujuan Majlis Tertinggi PSM yang bermesyuarat di ibu kota, Sabtu lalu.

Ketua Seranta PSM, Idris Abd. Karim berkata, jawatankuasa baharu itu akan dianggotai oleh pegawai kanan polis, peguam, bekas majistret dan ahli profesional.

“Antara bentuk tindakan PSM ke atas pihak berkenaan ialah pengeluaran injunksi mahkamah, saman malu atau apa juga yang disarankan atas nasihat ahli jawatankuasa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Majlis Tertinggi PSM turut sebulat suara untuk terus memberikan kepercayaan kepada Datuk Ahmad Ismail sebagai Presiden persatuan tanpa menghiraukan desakan golongan tertentu kebelakangan ini supaya beliau meletakkan jawatan.

Namun beliau enggan mengulas sama ada pembentukan jawatankuasa baharu itu satu langkah susulan PSM ekoran kempen Jom Bangkit Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepaktakraw Malaysia sejak 12 Januari lalu.

Segelintir pegawai persatuan negeri ahli gabungan PSM juga didapati kerap menggunakan media untuk mengecam kepemimpinan Ahmad dan mendesaknya berundur daripada kerusi No. 1 yang disandangnya sejak 2002 itu.

Kepada yang sering merungut ketandusan pertandingan tempatan, PSM kata Idris, telah mengatur tujuh kejohanan sepanjang 2014 termasuk Piala Emas Khir Johari Ke-50 Sambutan Jubli Emas dan memperkenalkan Liga Siri Super Malaysia yang berhadiah lumayan.

“Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari dijadualkan pada 17 hingga 22 Jun di Kompleks Sukan Negeri, Paroi, Seremban manakala Liga Siri Super PSM dengan kerjasama Asia Sports Ventures, dari 25 Oktober hingga Januari tahun depan,” katanya.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20140211/su_10/PSM-akan-pantau-perosak-imej-sepak-takraw

21hb Feb 2014