Pantai Timur Kuasa Baru Sepaktakraw

Liga Siri Super Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 2011 yang berakhir di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil kelmarin menyerlahkan kebangkitan dan kejaguhan dua negeri Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan yang mampu menjadi kuasa baru sukan warisan tradisi ini bagi tiga hingga lima tahun lagi.

Kejayaan mereka menggugat skuad elit negara atau PSM dengan mencuri satu kemenangan regu bawah 21 tahun di Kangar dalam pusingan kedua, September lalu dan akhir di Bukit Jalil, turut membuktikan pelaburan mereka untuk membangunkan pemain pelapis negara menerusi program tersendiri tetapi terancang, sudah boleh dituai secara beransur-ansur.

Malah jika bukan kerana pengalaman antarabangsa, keserasian yang sekian lama terbentuk dan program pendedahan sepanjang masa buat pasukan PSM, kedua-dua negeri yang bergelar naib juara dan pemenang ketiga keseluruhan ini pasti mampu berentap bagi penentuan juara Liga Siri Super dengan ganjaran RM20,000 ini.

Terengganu dan Kelantan yang masing-masing kalah 1-2 kepada skuad elit, begitu cepat meningkat dan memuncak tepat pada masanya untuk memintas pendahulu dua pusingan di Melaka dan Kangar yang juga juara satu lagi kejohanan berpasukan kebangsaan, Piala Emas Khir Johari 2011 iaitu Selangor.

Kata ketua jurulatih PSM, Jamaluddin Hassan: “Daripada liga ini, ada pasukan yang kami hanya menang 2-1. Ia satu petanda dan cabaran positif. Mereka bersungguh-sungguh menewaskan skuad elit dan saya menyeru jika ada di antara pemainnya yang dipanggil ke kem latihan negara, ambil dan manfaatkan peluang ini.”

Bagi jurulatih Terengganu, Ahmad Mohd. Zin yang dibantu Vitthaya Boontha dari Thailand: “Kami mencapai sasaran menang lima daripada enam perlawanan di Bukit Jalil. Kemampuan Terengganu dan PSM sebenarnya seimbang cuma dibezakan oleh keyakinan. Kebanyakan pemain mereka pun memang dari Terengganu.”

Turut terbukti ialah betapa kudrat bekas tonggak kebangsaan yang kerap dipertaruhkan Selangor mahupun naib juara Piala Khir, Kuala Lumpur sudah sukar untuk menangkis dan menahan lagi asakan dan ‘gelombang Timur’ ini sehingga masing-masing terus merosot ke tangga keempat dan kelima liga.

Selain lebih awal membuktikannya dengan membolot gelaran Terbuka dan Bawah 20 Tahun Kejohanan Piala Presiden PSM, Januari lalu, Terengganu telah melahirkan ramai tonggak skuad elit sekarang seperti Syazwan Husin, Nasiruddin Manjur Ahmad, Fadzli Roslan dan Hanafiah Dolah.

Ramai pemerhati, pemain dan jurulatih pasukan di Bukit Jalil juga memuji dan meramalkan tekong Kelantan, Mohd. Hisyam Mat mampu lebih menyinar di peringkat lebih tinggi sekali gus menjadi sehebat Normanizam Ahmad yang membantu mengakhiri kemarau pingat emas Malaysia dalam Sukan SEA, enam tahun lalu.

Sumber : Utusan Online

27hb Dec 2011