Normanizam dipanggil ‘rampas emas’ takraw

PERLUKAH Normanizam Ahmad yang mampu melakukan servis kuda dipanggil semula memperkuatkan dan mengatasi kelemahan tekong skuad sepak takraw negara bagi menghadapi Sukan SEA XXVI bulan depan?

Itulah persoalan yang timbul selepas posisi tekong diakui menjadi masalah terbesar yang perlu diatasi ketika temasya dwitahunan di Indonesia itu berbaki sebulan lagi, tambahan sistem mata baru membuktikan peranan tekong amat penting bagi menjamin kemenangan pasukan.

Kekalahan demi kekalahan kepada barisan pelapis Thailand dan terbaru kepada Indonesia di Piala Raja Thai diakui berpunca daripada kelemahan tekong membuktikan tindakan drastik perlu dilakukan bagi mengatasi kelemahan di posisi penting itu andai cabaran skuad negara tidak mahu diperlekehkan.

Perunding Thailand yang dilantik bagi membantu persiapan skuad negara, Prawety Intar mengakui Normanizam yang pernah membentuk gandingan emas bersama Mohd Futra Abdul Ghani dan Zulkarnain Arif di Sukan SEA 2005 mampu memperkuatkan dan mengatasi masalah di posisi itu andai dia berada dalam pasukan.

“Sebenarnya namanya masih digeruni lawan selain saya lihat dia masih mampu melakukan servis dengan baik. Namun, saya difahamkan dia mempunyai masalah yang menyebabkan tidak terpilih dalam pasukan kali ini. Jika dia ada dalam pasukan, saya yakin dia mampu mengatasi kelemahan di posisi itu berdasarkan pengalamannya,” katanya semalam.

Ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan mengakui tekong menjadi masalah terbesar tetapi dia percaya mampu memperbaikinya menjelang temasya itu bermula.

Sumber Asal : Berita Harian

13hb Oct 2011