MCKK & Pembangunan Komprehensif Sukan Sepaktakraw

“Hujung Minggu Takraw MCKK 2011″ – Klinik Takraw bersama Bekas Jaguh Negara dan Kejohanan Piala Raja Libas MCKK 2011

Sukan Sepak Takraw merupakan suatu sukan tradisi yang menjadi wacana orang Malaysia terutamanya golongan Melayu sejak zaman dahulu lagi. Walaupun sukan ini pada peringkat awalnya dipelopori oleh kerabat diraja Melaka di zaman kegemilangan kesultanan Melaka , tetapi pada hari ini, ianya telah mendapat tempat di pelbagai rantau Asia, Eropah dan Amerika. Bagi meningkatkan perkembangan sukan ini terutamanya di sebuah institusi pendidikan orang Melayu, iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), maka para Bekas Murid MCKK di bawah sebuah jawatankuasa yang diberi nama Malay College Takraw Revival (MCTR) telah merangka sebuah pelan pembangunan komprehensif bagi pembangunan sukan Sepak Takraw khususnya di MCKK dan di daerah Kuala Kangsar, Perak secara amnya.

“Di dalam suasana kemuruduman sukan Sepak Takraw oleh pasukan Kebangsaan Malaysia, adalah diharapkan sesi “Hujung Minggu Takraw MCKK 2011″ menjadi platform program akar umbi bagi mengembalikan maruah kegemilangan sukan sepak takraw” menurut kata pengerusi MCTR Noor Hasnol Bin Osman. “Maruah negara yang tercalar acap demi kekalahan yang dia alami oleh pasukan kebangsan memerlukan pendekatan yang lebih mendalam.” Menurut naib pengerusi MCTR Rizal Hafiz Ruzlan, “sepak takraw adalah wadah identiti bangsa yang perlu dipertahankan dalam arus kemodenan”

Perbincangan bagi menjemput regu Thailand diadakan di Prince Songkla University, Thailand

Di antara perancangan awal di dalam pelan pembangunan ini ialah dengan mengadakan Klinik Sepak Takraw bersama Bekas Jaguh Negara dan Kejohanan Piala Raja Libas yang disertai oleh beberapa pasukan dari sekolah di sekitar Kuala Kangsar dan sekolah luar seperti Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu (SBPI), Kedah. Kejohanan tersebut juga telah diserikan dengan penyertaan dua(2) regu dari sekolah-sekolah di Selatan Thailand iaitu dari Daerah Songkla.

Pada 12 November 2011, tepat jam 8.30 pagi telah diadakan kejohanan Piala Raja Libas MCKK 2011. Terdapat lebih kurang 16 regu di bawah 16 tahun dari sekolah-sekolah tersebut. Kejohanan tersebut telah mendapat sokongan sepenuhnya dari pihak pengurusan MCKK, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar dan sekolah-sekolah di sekitar Kuala Kangsar. Di antara sekolah-sekolah yang terlibat ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Madrasah Idrisiah, SMK Muhibbah, SM Bukit Mercu, SBPI Kubang Pasu, Kedah dan dua(2) regu dari sekolah di Thailand. Kejohanan itu telah diungguli oleh Madrasah Idrisiah Bukit Chandan.

Pada keesokan harinya iaitu pada 13 November 2011, telah diadakan Klinik Sepak Takraw yang telah dikendalikan oleh salah seorang legenda ‘killer‘ pasukan Malaysia yang telah memenagi pingat emas di Sukan Sea, Manila pada tahun 2005, iaitu Saudara Futra Abdul Ghani. Sesi teori mengenai sukan sepak takraw telah diadakan pada waktu pagi bertempat di dewan pejabat PPD Kuala Kangsar, Perak. Seramai lebih kurang 90 orang peserta telah menyertai klinik tersebut.

Pada sebelah petangnya, bertempat di Gimnasium MCKK, telah diadakan latihan stretching atau regangan yang dikendalikan oleh Saudara Futra Abdul Ghani. Latihan tersebut merupakan asas regangan yang perlu dikuasai oleh mana-mana pemain yang ingin berkecimpung di dalam sukan Sepak Takraw.

Latihan regangan tersebut amat penting bagi menghasilkan para pemain yang mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam menguasai teknik-teknik di dalam permainan sepak takraw seperti melibas, membuat rejaman, rejaman silang, menguis bola dan sabagainya.

Pada sesi terakhir klinik tersebut, Saudara Futra Abdul Ghani telah menunjukkan teknik-teknik yang betul di dalam permainan sepak takraw. Sesi tersebut telah diadakan di gelanggang sepak takraw MCKK (East Wing).

Sesi pada petang tersebut telah tamat pada jam 6.30 petang. Pihak MCTR mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan MCKK, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar, Saudara Futra Abdul Ghani, sekolah-sekolah yang telah menghantar pasukan, guru-guru pengiring, para jurulatih yang telah memberikan sokongan padu terhadap penganjuran kejohanan dan klinik sepak takraw tersebut.

Tidak dilupakan juga para penganjur bersama kejohanan tersebut iaitu Innovacia, Gajah Emas dan Signtake Group yang telah bersama-sama dengan MCTR sejak pelancaran pelan pembangunan sukan sepak takraw di MCKK. Berdasarkan sambutan hangat daripada guru-guru sukan daerah Kuala Kangsar dan para pelajar, MCTR berhasrat mengadakan sesi “Hujung Minggu Takraw MCKK” dan klinik bersama Bekas Jaguh Negara untuk tahun-tahun yang berikutnya.

Maklumat Lanjut MCTR

ItemKeterangan
FacebookFacebook Fan Page
PengurusanNoor Hasnol Osman (+6019-239 0442)
Rizal Hafiz Ruslan (+6019-431 8759)
24hb Nov 2011