Malaysia tewas di tangan Korea Selatan – Dana PSM disekat

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyekat peruntukan kewangan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) ekoran kekalahan memalukan pasukan negara kepada Korea Selatan di final Siri Super ISTAF di India Ahad lepas.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata pasukan negara tidak mempunyai alasan untuk kalah dengan pasukan seperti Korea Selatan.

Beliau berkata oleh itu peruntukan untuk PSM akan disekat selagi tiada pelan pemulihan yang dikemukakannya.

“Malu lah, kita kalah dengan Korea Selatan. Saya sedang berfikir apa nak buat dengan PSM. Dengan kekalahan ini, saya tidak akan beri apa-apa peruntukan kepada mereka,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Kejohanan Bola Jaring 2013 anjuran Women’s Sport dan Fitness Foundation Malaysia (WSFFM) di sini hari ini.

Khairy berkata walaupun PSM meminta peruntukan terus daripada perdana menteri dan bukan melalui KBS, namun beliau akan meminta supaya peruntukan tersebut tidak diberikan.

Skuad Malaysia yang dikendalikan Nordin Sabarudin tewas 0-3 kepada Korea Selatan dalam kejohanan itu dan sekaligus menjadikan Korea Selatan sebagai antara kuasa baharu sukan sepak takraw antarabangsa.

Khairy berkata walaupun KBS tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam hal pentadbiran sesuatu pasukan sukan, namun dari segi pemberian peruntukan, KBS masih mempunyai autoriti.

“Tindakan tegas ini bukan hanya kepada PSM, namun untuk semua persatuan yang tidak mempunyai perancangan yang baik dalam mengendalikan pasukan mereka,” katanya dan menambah RM1 juta diperuntukkan kepada PSM setiap tahun.

Dalam perkembangan lain, beliau bersetuju dengan pendapat Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai kelemahan pasukan Malaysia yang kalah 1-3 kepada Pakistan dalam perlawanan untuk merebut tempat ketiga Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Ipoh, Perak malam tadi.

Beliau berkata pasukan Malaysia mempunyai kelemahan dari segi strategi serangan yang tidak cukup tajam serta mendapatkan gol melalui sudut penalti.

Namun Khairy tetap berpuas hati ekoran Malaysia mengesahkan tiket ke Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014. – BERNAMA

3hb Sep 2013