Malaysia kena libas lagi

PASUKAN lelaki dan wanita negara meraikan kejayaan bergelar naib juara selepas tewas kepada Thailand pada perlawanan akhir Siri Super Akhir Istaf 2013/2014 di Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/HAFIZ JOHARI

PASUKAN lelaki dan wanita negara meraikan kejayaan bergelar naib juara selepas tewas kepada Thailand pada perlawanan akhir Siri Super Akhir Istaf 2013/2014 di Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/HAFIZ JOHARI

KUALA LUMPUR – Malaysia sekadar mengulangi skrip lama dengan kempunan gelaran apabila dihampakan musuh tradisi, Thailand 12-15, 10-15, 7-15 dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Akhir Istaf 2013/14 di Stadium Titiwangsa di sini, semalam.

Dalam pertarungan lebih kurang sejam itu, regu negara yang menampilkan Syahir Rosdi (Izurin Refin), Hanafiah Dolah (Khairol Zaman Hamir Akhbar) dan Muqlis Borhan mudah dijinakkan Kritsana Tanakorn (Sittipong Khamchan), Supachai Maneenat dan Somporn Jaisinghol.

Terdahulu di depan lebih 5,000 penyokong tuan rumah, Si Gajah Putih turut mengecewakan Noor Fairuz Azizan (Emilia Eva Natasha Saudia), Rahilah Harun (Nurul Izzatul Hikmah Zulkifli) dan Nor Farhana Ismail 15-4, 15-8, 15-13 dalam perlawanan akhir kategori wanita selepas 43 minit.

Servis Syahir dan Izurin yang kerap terkandas mahupun terkeluar, hanya tambah memudahkan tugas Thailand untuk menggondol kejuaraan keseluruhan musim 2 Siri Super Istaf ini dengan mengumpul 940 mata manakala Malaysia, kurang 20 mata daripada musuh tradisinya.

Supachai hanyalah pelibas pilihan ketiga Thailand namun banyak membantu mencuri mata menerusi hadangan kemasnya biarpun Malaysia menukar pelibasnya daripada Hanafiah kepada Zaman dalam set kedua.

Thailand turut menjuarai siri 2 dan 3 di Bangkok dan Kota Kinabalu manakala Malaysia sekadar di belakangnya ketika itu serta dalam siri 1 di New Delhi, Ogos lalu.

“Penentu perlawanan akhir ini ialah servis dan jelas kelebihan itu berpihak kepada lawan. Syahir tertekan sehingga servisnya tidak mengena tetapi saya tidak rugi menurunkannya lebih awal. Strategi serangan kita dengan umpanan pendek turut tidak menjadi kerana umpanan Muqlis yang kurang kreatif.

“Pengalaman juga memberikan kesan dalam kejayaan Thailand. Walau apa pun, sekurang-kurang¬≠nya kita tetap konsisten layak ke perlawanan akhir (sepanjang Siri Super musim ini),” kata jurulatih lelaki negara, Jamaluddin Hassan,

Malaysia bagaimanapun mendapat sedikit penawar apabila Hanafiah dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Paling Bernilai pada kejohanan itu.

“Perlawanan dengan Malaysia sentiasa berlangsung getir namun saya rasa kegagalan tekong lawan menyerap tekanan di depan ribuan penonton mungkin menyukarkan permainannya. Kami pula memberikan aksi semaksimum mungkin dan saya tiada masalah apabila apit kanan Malaysia yang dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan.

“Bagi saya, jika Malaysia wujudkan sebuah liga profesional seperti kami di Thailand, mungkin lebih ramai pemain berbakat dapat diketengahkan,” kata pengurus pasukan Thailand, Tanawat Prasongcharoen.

Sementara itu, jurulatih wanita negara, Md. Fikri Md. Nor berkata, anak-anak buahnya terlalu menghormati pemain lawan hingga gagal memberikan tentangan terbaik.

“Pemain kita terlalu menghormati Thailand dalam set pertama dan kedua padahal mereka mempunyai kemampuan untuk menandingi lawan. Servis Fairuz pula kurang berkesan untuk membantu mencuri mata, namun kemaraan ke perlawanan akhir kali pertama ini sudah melebihi sasaran awal kami dan memadai bagi saya,” ujar Md. Fikri.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20140310/su_02/Malaysia-kena-libas-lagi#ixzz2vX3RDrjZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

10hb Mar 2014