Malaysia Kekal di Nombor 2 Pada Kedudukan ISTAF

Tulisan asal oleh Abdul Hafiz Ahmad (Utusan)

KUALA LUMPUR – Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) wajar menghela nafas lega apabila dua kekalahan ‘malapetaka’ kepada Indonesia dalam Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai Ke-26, minggu lalu, tidak menjejaskan ranking dunia terbaru skuad elit negara.

Anak buah Jamaluddin Hassan tetap berada pada tangga kedua dalam senarai Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan UFA Sports, biarpun dibenam Indonesia 2-1 dan 3-0 pada akhir acara berpasukan dan Kumpulan B beregu di Pusat Beli-belah Fashion Island, Bangkok.

Memandangkan Malaysia mungkin tidak menyertai acara beregu pada Sukan SEA Indonesia, November ini, kekalahan tersebut tidak sepahit kekalahan berpasukan yang berulang seperti ketika Piala Raja Thai di Chiang Mai, tahun lalu apabila disekat Korea Selatan 1-2 juga pada separuh akhir.

Mujurlah ranking berkenaan hanya mengambil kira keputusan Siri Super I Istaf Thailand juga di gelanggang sama yang menyaksikan Noor Azman Hamid (Syazwan Husin), Norshahruddin Mad Ghani dan Faizul Hairy Osman dihampakan Indonesia 3-2 (10-15, 15-12, 16-17, 15-7, 12-15) dalam suku akhir, 10 September lalu.

Malaysia mengumpul 525 mata selepas turut bergelar naib juara Piala Dunia di Kuala Lumpur, Julai lalu, di belakang musuh tradisi yang juga juara dunia dan Siri Super I, Thailand (750 mata).

Indonesia mengekori pada tempat ketiga dengan 475 mata dan naik dari tangga keenam.

Kedudukan Sepaktakraw ISTAF

19hb Sep 2011