Malaysia Hanya Raih Gangsa Sepaktakraw Berpasukan

Tulisan asal oleh Farhanah Azmi (Bernama)

Skuad sepaktakraw negara meraih satu lagi pingat gangsa dalam kategori berpasukan selepas berada dalam kedudukan ketiga daripada empat negara yang bertanding pada temasya Sukan SEA ke-26 di sini, Jumaat.

Acara berpasukan yang dijalankan secara ’round robin’ itu hanya melibatkan tuan rumah Indonesia, Thailand, Myanmar dan Malaysia.

Sebelum ini Malaysia memungut gangsa dalam acara antara regu 14 Nov lepas.

Pada perlawanan berpasukan itu, Malaysia menewaskan Myanmar 3-0.

Ketua jurulatih Jamaluddin Hassan berkata beliau tidak sempat untuk mempersiapkan skuad sepaktakraw ke Sukan SEA kali ini sejak beliau mengambil alih jawatan itu April lepas.

“Tempoh yang ada untuk saya mempersiapkan skuad terbaik tidak cukup, ini sajalah yang kita mampu hasilkan dan saya akui prestasi kali ini agak teruk.

“Saya akan menghantar laporan kepada pengurusan persatuan mengenai prestasi pemain kita di sini. Terpulang kepada mereka sama ada mahu terus menggunakan khidmat pemain yang ada atau melakukan rombakan besar-besaran atau juga mencari pemain baru,” katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Seriwijaya Promotion Centre itu, regu pertama negara yang terdiri daripada Noor Azman Abdul Hamid, Mohd Fadzli Muhammad Roslan dan Muhammad Faizulhairy Osman hampir diaibkan Aung Pyae Tun, Kyaw Soe Win dan Aung Myo Swe apabila dipaksa bermain tiga set 15-11, 15-17 dan 15-11.

Sementara itu, regu kedua negara Muhuammad Syazwan Husin, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam mengatasi Yar Zar Htun, Si Thu Aung, Min Htet Aung dengan 15-6 dan 15-13.

Regu ketiga Ahmad Sufi Mohammed Hashim, Mohd Helmi Ismail dan Mohamad Hanafiah Dolah mengatasi Paing Moe Oo, Kyaw Thi Ha Oo dan Si Thu Aung dengan 17-16 dan 15-10.

18hb Nov 2011