Lupakan Impian Kutip Emas

Lupakan impian kutip emas pada Sukan Asia 2014 kata Datuk Zolkples Embong.

IMPIAN untuk menamatkan kemarau pingat emas pada Sukan Asia 2014 di Korea Selatan perlu dilupakan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) seandainya persembahan mengecewakan skuad negara pada Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) Ketiga di Singapura dijadikan ukuran.

Pandangan itu disuarakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong yang menggambarkan kegagalan anak-anak buah jurulatih Jamaluddin Hassan di suku akhir pada kejohanan yang menampil hampir keseluruhan pasukan terbaik dunia itu adalah amat mengecewakan.

“Baru-baru ini Presidennya (Datuk Ahmad Ismail) buat kenyataan mahu menang emas di Incheon. Kalau macam ini (persembahan) boleh lupakan. Banyak yang kena belajar dan perbaiki.

“Kekalahan semalam (kelmarin) amat mengecewakan. Malah pada dua set, kita hanya mampu meraih tujuh dan enam mata saja,” kata Zolkples ketika diminta mengulas mengenai kekalahan suku akhir skuad negara kepada Indonesia dalam perlawanan lima set itu.

Untuk pertemuan itu, skuad negara mempertaruhkan pemain sama yang mara ke final pada Siri Super Istaf Kedua di Indonesia pada Februari lalu tumpas mengejut pada set pertama dengan keputusan 7-15 gara-gara persembahan kurang mantap yang dipamerkan tekong negara, Mohamad Fazil Mohd Asri.

Namun di sebalik persembahan kurang meyakinkan Mohamad Fazil selain kecederaan yang membelenggu Norshahrudin Mad Ghani, regu negara bangkit merampas dua set berikutnya dengan kemenangan 17-16 dan 15-12 namun ketajaman servis lawan tidak mampu dikekang apabila membiarkan lawan mencatatkan kemenangan pada dua set terakhir (15-10 dan 15-6) untuk kemenangan 3-2.

Kekalahan itu turut mengecewakan bekas pemain negara, Rashid Yahya yang menjelaskan kekalahan terbaru menyebabkan skuad negara sudah hilang status sebagai pasukan nombor dua dunia di belakang Thailand.

“Ia bukan hak kita lagi. Kita pernah kalah kepada Korea Selatan, Vietnam dan Indonesia yang sudah menewaskan kita beberapa kali. Kesilapan tekong menyebabkan skuad negara tewas dan jurulatih kena memainkan peranan dalam membentuk pemain yang berkualiti pada posisi ini.

“Kenapa servis tekong tidak dipelbagaikan? Dalam permainan sekarang, kemampuan tekong mengutip mata adalah penting kerana setiap servis yang terkandas akan memberi mata kepada lawan,” kata bekas pemenang pingat emas Sukan Sea 1981 itu.

Skuad wanita negara juga gagal menebus kekecewaan skuad lelaki apabila tewas kepada Indonesia 0-3 dalam penentuan tempat ketiga.

Sumber : Harian Metro

6hb May 2012