Komitmen Pemain Jadi Penghalang

KOMITMEN terhadap keluarga dan pekerjaan dalam kalangan pemain sepak takraw negara mengundang dilema buat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk membentuk satu pasukan yang mantap.

Ada pemain yang berbakat tetapi mereka tidak boleh menyumbang bakti kerana komitmen terhadap keluarga dan pekerjaan.

Lebih memeranjatkan, segelintir pemain dilaporkan sekadar datang menjalani latihan semata-mata mahu mengambil hati pihak persatuan bagi mengelak daripada tindakan disiplin oleh persatuan negeri masing-masing.

Jika terlalu sering tidak datang ke pejabat, ia juga bakal mengundang masalah kepada pemain kerana sesetengah majikan mereka tidak begitu gemar untuk memberi pelepasan.

Akibatnya, PSM yang pening kepala kerana pemain-pemain yang mereka fikirkan berpotensi untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan tidak dapat disenaraikan ekoran masalah seperti itu.

Mengulas isu kekurangan pemain kebangsaan yang berbakat, jurulatih skuad elit negara, Jamaluddin Hassan merumuskan bahawa persatuan tidak boleh memaksa pemain yang menolak pelawaan untuk menyarung jersi negara.

Jelasnya, Jawatankuasa Pemilihan PSM telah melakukan penilaian terhadap pemain-pemain yang menyertai kejohanan-kejohanan tempatan seperti Piala Presiden PSM dan sebagainya.

“Apabila kita sudah dapat mengenal pasti pemain yang kita kehendaki, kita akan panggil mereka. Tetapi berdasarkan pengalaman sebelum ini, ada juga pemain yang terpilih tidak datang kerana terpaksa mengutamakan komitmen terhadap keluarga dan pekerjaan.

“Cuba kita bayangkan, kalau mereka sudah mempunyai pekerjaan yang baik, mana mungkin mereka mahu melepaskannya semata-mata untuk beraksi dengan skuad negara yang tidak menjanjikan imbuhan yang besar,” jelas Jamaluddin kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya lagi, hanya sebilangan kecil pemain yang masih berani menyahut cabaran menyarung jersi skuad negara kerana mereka memang betul-betul berazam untuk memajukan sukan sepak takraw negara.

Namun katanya, pemain yang mereka kenal pasti sebagai berpotensi dan memiliki bakat yang menakjubkan, lebih mengutamakan pekerjaan mereka daripada menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Kami faham masalah ini malah telah berlaku sejak sekian lama. Pemain terbabit hanya akan menerima panggilan PSM sekiranya mereka mendapat sokongan penuh daripada majikan mereka.”

Menurut Jamaluddin, bukan satu tugasan yang mudah bagi pihak PSM untuk mendapatkan pemain yang berkualiti serta berbakat yang mampu beraksi dengan baik.

“Kita panggil sehingga 50 orang pemain tetapi yang akan datang mungkin hanya 30 orang.

“Mungkin pemain yang betul-betul berkemahiran tidak ada. Jadi kami hanya pilih pemain yang hadir yang prestasinya menghampiri standard yang ditetapkan oleh persatuan,” ujarnya.

Menurutnya, pelepasan daripada majikan juga merupakan antara salah satu faktor utama mengapa skuad negara sukar dibentuk dengan lebih rapi.

Menurut jurulatih yang berasal dari Johor itu, PSM tidak boleh melakukan paksaan terhadap pemain untuk beraksi dengan skuad negara kerana mereka perlu mendapatkan keizinan daripada majikan mereka terlebih dahulu.

“Ada juga pemain yang tidak mendapat ‘lampu hijau’ daripada majikan mereka. Tetapi kalau daripada kakitangan kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), masalah seperti ini tidak timbul.

“Jadi, kita perlu faham situasi ini kerana mereka juga perlukan kerja dan mencari wang untuk periuk nasi mereka juga,” kata Jamaluddin.

Beliau yang pernah membawa skuad negara meraih pingat emas pada Sukan SEA 2005 di Filipina berharap agar semua peminat sukan sepak takraw negara tidak menyamakan status pemain sepak takraw dengan bola sepak.

Katanya, ketandusan pemain sepak takraw yang berbakat juga menyebabkan sukan ini sukar untuk menikmati peningkatan yang diharapkan.

“Usah samakan mereka dengan pemain-pemain bola sepak kerana pemain bola sepak memang menerima gaji tetap, pemain sepak takraw lebih kepada komitmen.

“Pemain bola sepak ini sudah nampak hala tuju mereka tetapi bagi pemain sepak takraw mereka hanya akan mewakili negara tetapi tiada kelab yang mampu membayar gaji yang lumayan buat mereka.

“Oleh itu, mereka tidak boleh tumpukan sepenuhnya pada sepak takraw sahaja kerana mereka perlu bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga,” tambah Jamaluddin.

Dalam pada itu, Jamaluddin mengharapkan agar semua pemain yang dipanggil untuk proses pemilihan pada awal bulan Mac depan dapat hadir untuk menyahut cabaran mengharumkan negara.

“Kita akan panggil semua pemain yang mempunyai kemahiran yang tinggi yang telah dikenal pasti daripada Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden baru-baru ini.

“Sebaik sahaja tamat Kejohanan Siri Super Persatuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Palembang yang bermula pada 23 hingga 26 Februari depan, kita akan mulakan program pemilihan tersebut,” katanya.

Menurutnya, jika semua pemain yang memiliki bakat luar biasa itu datang menyahut cabaran, maka ia akan memudahkan PSM untuk membentuk skuad yang mantap.

“Kami juga berharap agar pemain-pemain yang kita panggil pada kali ini mendapat sokongan daripada majikan masing-masing bagi membolehkan mereka memberi tumpuan terhadap latihan.”

Sumber : Kosmo Online

29hb Jan 2012