KOAM Dan PSM Diminta Buat Post-Mortem Tidak Capai Sasaran Sukan SEA

Petikan daripada Bernama

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang tidak mencapai sasaran Sukan SEA di Indonesia membuat post-mortem bagi mengenal pasti punca kemerosotan atlet mereka.

Beliau yang kecewa dengan prestasi kedua-dua pasukan itu membuat siasatan terperinci bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang pada masa depan.

“Sepak takraw umpamanya, kita di belakang Thailand satu ketika dulu namun kini Indonesia muncul sebagai ancaman baru untuk skuad kita.

“Begitu juga dengan olahraga di mana kita memperolehi emas dalam beberapa acara tetapi saya tidak berpuas hati dari segi penyertaan atlet kita yang berada pada tahap minimum seperti acara 1,500 meter dan 5,000 meter yang mana kita tidak menghantar wakil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Futsal 1Malaysia di Presint 18 di sini hari ini.

Skuad sepak takraw yang disasar memungut sekurang-kurangnya satu pingat emas hanya memperolehi dua pingat gangsa setelah kalah dalam acara regu dan berpasukan kepada seteru utama Thailand dan tuan rumah Indonesia.

Skuad olahraga yang memperoleh enam emas hanya menyertai sebahagian acara disebabkan KOAM menghadkan penyertaan atletnya ekoran kebanyakan atletnya tidak melepasi had kelayakan yang ditetapkan.

Ahmad Shabery berkata beliau tidak mahu menuding jari terhadap kelemahan pentadbiran kedua-dua sukan tersebut tetapi mereka juga mempunyai tanggungjawab dalam melahirkan bakat-bakat baru.

“Saya tidak mahu menyalahkan kepada mana-mana persatuan sukan di negara ini tetapi inilah (kekurangan penyertaan atlet) yang berlaku di kebanyakan temasya sukan,” katanya.

19hb Nov 2011