Kita Perlu Berani

LANGKAH drastik perlu dilaksanakan segera bagi memastikan prestasi skuad sepak takraw kebangsaan tidak terus tenggelam hingga sukar untuk diselamatkan lagi.

Selepas meraih dua pingat gangsa dalam acara berpasukan dan antara regu di Sukan Sea Indonesia, kedudukan Malaysia selaku pasukan kedua terbaik dunia di belakang Thailand tidak lagi menjadi jaminan.

Malah saingan untuk merebut kilauan pingat di Sukan Sea 2013 dilihat semakin sukar atau terpaksa pulang dengan tangan kosong terutamanya dengan cabaran tuan rumah, Myanmar yang pasti menghadirkan saingan sengit seperti yang dilakukan Indonesia pada bulan lalu sehingga berjaya meraih pingat perak.

“Situasi ini perlu diambil kira bermula sekarang. Kita belum bercakap mengenai Sukan Asia 2014 di Incheon. Mungkin tahap permainan Jepun, China dan tuan rumah, Korea Selatan bakal meningkat dalam tempoh tiga tahun lagi,” kata bekas pemain negara, Suhaimi Yusof.

Menurut pemenang pingat emas Sukan Asia 1990 dan 1994 itu, semua pihak terbabit perlu memainkan peranan, termasuk memberikan kuasa penuh kepada jurulatih dalam menentukan pemain diperlukannya.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain yang pernah mewakili beberapa negeri, Shahrudin Manap berkata, mental pemain sememangnya sudah tertekan bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.

“Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) meletakkan sasaran emas kepada pemain walaupun sebelum itu skuad negara gagal beraksi dengan cemerlang. Kita kecundang kepada Thailand (Piala Dunia Istaf) selain pernah tewas kepada regu Indonesia dalam aksi persahabatan.

“Secara tidak langsung tahap keyakinan mereka pasti terganggu, ditambah pula dengan sasaran tinggi PSM. Sepatutnya selepas tewas dengan mudah pada final Piala Dunia Istaf pada Julai lalu, satu bedah siasat terperinci diadakan bagi mencari kepincangan yang wujud,” katanya.

Sumber : Harian Metro

3hb Dec 2011