Kesan buruk aib kepada Indonesia mampu menjalar ke akar umbi

Tulisan asal oleh Abdul Hafiz Ahmad (Utusan)

KUALA LUMPUR – Kekalahan mengaibkan skuad elit kepada Indonesia 0-3 dalam separuh akhir acara antara regu Sukan SEA XXVI kelmarin, mampu meninggalkan kesan buruk yang mendalam kepada skuad elit mahupun sehingga kepada golongan penggemar permainan itu di peringkat akar umbi.

Bekas pelibas kebangsaan yang kali terakhir mewakili negara pada Sukan Asia Guangzhou 2010, Mohd. Futra Abd. Ghani berkata, penggemar sepak takraw tanah air juga pasti tidak mahu menerima sebarang alasan pihak berkaitan yang mungkin cuba mahu melindungi kekalahan mudah di Palembang itu.

“Skuad sekarang dibarisi mereka yang sudah berpengalaman Sukan SEA 2009 mahupun Sukan Asia 2010. Sepatutnya sudah tiada alasan kita boleh kalah kepada Indonesia.

“Moral pemain pasti turut terjejas (untuk menghadapi acara berpasukan selepas ini pula juga termasuk dengan menentang Indonesia),” katanya yang bagaimanapun mempertahankan bahawa kemahiran pemain Malaysia masih setanding regu tuan rumah itu – Viktor Eka Prasetyo, Syaiful Rijal dan Syamsul Hadi.

Kekalahan regu negara 10-15, 11-15, 11-15 itu merupakan yang ketiga selepas diaibkan lawan sama, 2-3 dalam suku akhir Siri Super I dan 1-2 pada separuh akhir selain 0-3 bagi acara beregu Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26 di Bangkok, September lalu.

Malah, sebutir gangsa antara regu di Pusat Konvensyen Sriwijaya, Palembang itu sekadar menyamai pencapaian hambar pada Sukan SEA Laos 2009 selepas Malaysia diaibkan tuan rumah 2-1 sehingga mendorong kontrak jurulatih negara ketika itu, Haris Abd. Rahman tidak disambung ke Sukan Asia 2010.

15hb Nov 2011