Indonesia Benam Skuad Elit

Tulisan asal oleh Abdul Hafiz Ahmad (Utusan)

KUALA LUMPUR – Skuad elit negara menerima tamparan hebat menjelang Sukan SEA Palembang, November ini, malah kemampuan mereka meraih emas pada temasya itu menimbulkan keraguan apabila dikejutkan Indonesia 2-3 dalam perlawanan suku akhir Siri Super I Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Bangkok, semalam.

Regu negara, Nor Azman Hamid (Syazwan Husin), Nor Shahruddin Mad Ghani dan Faizul Hairy Osman kalah 10-15, 15-12, 16-17, 15-7, 12-15 dalam perlawanan yang berlanjutan lebih sejam di pusat beli-belah Fashion Island di ibu kota Thailand itu.

Regu negara yang dibimbing Ahmad Jais Baharun gagal memanfaatkan kesempatan mendahului 11-2 dalam set ketiga yang menjadi titik tolak kekalahan teruk mereka kepada Indonesia yang menjadi tuan rumah Sukan Sea nanti.

Nor Azman yang persembahannya merosot digantikan Syazwan pada set kedua tetapi kedua belah apit kanan Malaysia seringkali melakukan kesilapan mudah sehingga memberikan ruang untuk Indonesia bangkit dan mencapai kemenangan.

Ahmad Jais berkata: “Kekalahan ini betul-betul pahit untuk ditelan pasukan. Ia satu malapetaka buat pasukan kita.

“Saya akui Indonesia mempunyai kawalan gelanggang dan pertahanan yang kemas yang banyak menghampakan serangan kita.”

Penentuan juara Siri Super kategori lelaki ini bakal ditentukan oleh Indonesia yang menewaskan Korea Selatan 3-1 pada separuh akhir sejurus kemudian.

Menanti Indonesia di final ialah tuan rumah dan juara dunia, Thailand, yang turut mengesahkan kemaraan dengan menumpaskan Jepun 3-0.

11hb Sep 2011