GPSN gesa PSM dirombak

Tulisan asal oleh Norashkin Leman (Sinar Harian)

‘ROMBAK besar – besaran!’, hanya itu bermain difikiran peminat dan penggiat sukan sepak takraw yang nyata kecewa dengan persembahan hambar skuad elit sepak takraw negara dalam kempen Sukan Sea 2011, Indonesia.

Diaibkan pasukan tuan rumah dalam perlawanan separuh akhir acara regu Isnin lalu, kredibiliti anak buah Jamaluddin Hassan kini, diragui untuk terus mewakili negara dalam kejohanan-kejohanan akan datang.

Melihat kesan buruk bakal diterima skuad elit, mahupun sehingga peringkat akar umbi, Penaung Gabungan Penggiat Sepak Takraw Nasional (GPSN), tampil menyuarakan pendapat.

“Kekalahan demi kekalahan dicipta skuad sepak takraw negara sudah tidak dapat diterima lagi. Kami mahukan pingat emas. Bukan hanya sekadar tangga kedua, mahupun ketiga.

“Malah ranking kedua milik Malaysia dalam senarai terkini Persekutuan Sepak Takraw Antara­bangsa (Istaf) menilai prastasi Piala Dunia dan Siri Super juga sudah tidak bermakna lagi, jika Indonesia yang berada di belakang kita, begitu mudah menjinakkan pemain. Bukan sekali, tetapi empat kali berturut – turut dalam tempoh dua bulan sahaja,” katanya semalam.

Tidak mahu lagi menerima alasan dari pihak berkaitan yang cuba melindungi kekalahan mudah di Palembang itu, GPSN menyarankan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), menyusun semula gerak kerja jawatankuasa dan kepimpinan PSM termasuk pemain.

Turut menyoal peranan sebenar perunding dari Thailand, Prawet Intar dan Tawit Wongkluen yang dilihat lebih memainkan peranan sebagai jurulatih, Ahli Jawatankuasa Penaja GPSN, Norsyahriman Md Arif mahu kepakaran perunding tersebut digunakan sepenuhnya untuk memacu skuad pelapis dan bukan lagi skuad elit.

“Apa yang diperkatakan, bukan bermaksud kami cuba mengambil alih jawatan PSM, namun sebagai penggiat sepak takraw tidak mahu acara sukan ini, hanya sekadar sukan picisan pada masa akan datang.

“Banyak perlu dilakukan, dirombak dan dibentuk semula bermula dari pencarian bakat sehinggalah soal penajaan dan promosi. Ia mestilah dilakukan segera.

“Sekiranya PSM masih tidak mahu untuk mendengar luahan kami, jangan terkejut jika suatu hari nanti, sepak takraw akan menerima nasib sama seperti sukan badminton dimana muncul kelab-kelab persendirian untuk melahirkan bakat yang benar-benar mampu mengharumkan nama negara,” katanya.

17hb Nov 2011