Gelaran Regu Buat Malaysia di Kejohanan Dunia Sepaktakraw Piala Raja Thai Ke-26

Tulisan asal oleh Abdul Hafiz Ahmad (Utusan)

KUALA LUMPUR – Malaysia menemui penawar selepas dua kegagalan Siri Super I dan acara beregu dengan menjuarai Divisyen Perdana antara regu Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai Ke-26 di Bangkok, semalam.

Tanpa penyertaan Thailand, Noor Azman Hamid, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam, menumpaskan Korea Selatan 3-1 (15-11, 10-15, 15-9, 15-11) selepas 65 minit perlawanan akhir sekali gus mengekalkan gelaran tahun lalu.

Namun, anak buah Jamaluddin Hassan yang juga juara Kumpulan A, dipaksa berhempas pulas lebih keras sebelum mampu menjinakkan Myanmar 3-2 (14-16, 15-11, 9-15, 15-9, 15-8) pada separuh akhir.

Membuka tirai peringkat kumpulan, regu negara menumpaskan Korea Selatan 3-1 (15-10, 8-15, 15-9, 15-8) kelmarin dan membenam Vietnam 3-0 (15-6, 15-7, 15-8) serta China 3-0 (15-3, 15-7, 15-5), semalam.

Skuad wanita (Noor Fairuz Azizan, Nurul Shahera Mukhtar (Rahilah Harun), Siti Norzubaidah Che Wahab pula terlepas peluang ke Divisyen Perdana tahun depan apabila disekat Laos 0-3 (9-15, 9-15, 13-15) pada perlawanan akhir Divisyen Satu.

Terdahulu anak buah Md. Fikri Md. Nor yang juga naib juara tahun lalu, menang percuma ke atas Pakistan pada peringkat Kumpulan A sebelum menewaskan Taiwan 3-0 (15-3, 15-1, 15-3) dalam separuh akhir.

Acara berpasukan yang hanya disertai skuad elit, bermula 10 pagi ini (waktu Malaysia) dengan mereka bertembung Thailand, tuan rumah yang juga juara dunia lebih awal kerana diundi dalam Kumpulan A Divisyen Perdana.

Jepun dan Brunei turut melengkapkan kumpulan ini sementara Korea Selatan, naib juara di Chiang Mai, tahun lalu, mengetuai Kumpulan B selain naib juara Siri Super – Indonesia, Myanmar dan India.

Thailand, juara Piala Dunia (Julai) membariskan tonggak juara Siri Super, Ahad lalu seperti Kriangkrai Kaewmian, Siriwat Sakha (tekong), Anuwat Chaichana, Pornchai Kaokaew (pelibas) dan Pattarapong Yupadee (pengumpan).

Turut serta ialah ketua pasukan berusia 37 tahun, Suriyan Peachan selain Somporn Jaisinghol, Sahachat Sakoncharoen, Supachai Maneenat, Kritsana Tanakorn, Wannimit Promdee dan Rawat Parbchomboo.

14hb Sep 2011