Datuk Ahmad Ismail Bersuara

Minggu lepas kita dapat baca di akhbar-akhbar, pelbagai pihak memberikan tekanan kepada Presiden Sepaktakraw Malaysia supaya meletakkan jawatan setelah kegagalan skuad Elit bagi kejohanan besar pada tahun ini. Ianya bermula dari Kejohanan Dunia dia Taman Tasik Titiwangsa sehinggalah pada temasya Sukan SEA baru-baru ini.

Kita dapat saksikan mutu permainan sepaktakraw Malaysia terus merundum & amat mengecewakan bagi semua peminat & penggiat. Datuk Ahmad Ismail selaku Presiden PSM telah memberi maklumbalas. Antara petikannya di akhbar harian metro berbunyi :-

“Saya tahu ada ‘tangan’ dari luar yang cuba masuk campur dalam pengurusan PSM semata-mata untuk menjatuhkan saya.

“Malah, ada antara mereka itu adalah bekas pemain sendiri yang hanya tahu bercakap tanpa berfikir,” kata Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail yang enggan mendedahkan nama bekas pemain terbabit.

Sambil menyifatkan individu yang hanya tahu bercakap itu umpama `Si Luncai dengan labunya’, Ahmad berkata dia tidak kisah dengan apa saja tohmahan terbabit kerana baginya hanya keikhlasan selain mahu melihat sepak takraw bangkit kembali selepas menghadapi zaman suram sejak sepuluh tahun lalu.

“Apa saja yang mereka kata, saya anggap sebagai agenda peribadi yang sengaja mahu memburukkan saya dan ada bekas pemain yang sengaja membuat dakwaan kejohanan yang dianjurkan PSM hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Mungkin dia (bekas pemain) itu hanya pandai bercakap dan dia tidak tahu kerja-kerja pengurusan dan mungkin juga ada kepentingan lain untuk dirinya,” katanya.

Apabila bekas pemain & penggiat melemparkan rasa kecewa dengan pengurusan PSM maka mereka ditemplak sebagai penjatuh maruahnya & orang-orang yang tidak tahu menahu tentang pengurusan, mempunyai kepentingan individu serta mereka ini umpama ‘Si Luncai dengan labunya’.

Oh tidak! Saya boleh katakan ahli jawatankuasa di PSM adalah ‘Tikus yang sedang membaiki labu’!

12hb Dec 2011
Kategori
sepaktakraw.my