Bendahari PSM Dilucut Jawatan

Yang didesak berundur, terus bertahan apatah lagi mendapat sokongan. Yang cuba menawarkan pengunduran tidak pula mengotakan kesanggupannya pada mesyuarat Majlis Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), kelmarin.

Sebaliknya yang menjadi mangsa ialah Datuk Mohd. Salim Abd. Bari yang dilucutkan jawatannya sebagai Bendahari PSM, seperti yang diumumkan di Hotel Adamson di sini.

Mohd. Salim yang juga Naib Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) bagi penggal 2008/12 menyandang jawatan Bendahari PSM sejak 2002 yang dilantik menurut budi bicara Presiden berdasarkan perlembagaan PSM.

Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail pada mesyuarat itu menamakan Abdul Jalil Ariffin yang juga seorang pemimpin sebuah parti politik di Pulau Pinang sebagai bendahari baru PSM.

Penolong Setiausaha PSM, Tengku Adnan Tengku Borhanudin ketika ditanya mengenai sebab pertukaran Bendahari itu, hanya berkata kepada Utusan Malaysia: “Rujuklah kepada Datuk Ahmad sendiri selaku Presiden.”

Mohd. Salim dikatakan turut tidak diundang menghadiri mesyuarat yang menemukan hampir kesemua pegawai kanan dari 17 ahli gabungan PSM seluruh negara.

Turut dilaporkan tidak hadir ialah Timbalan Presiden PSM, Mohd. Shapian Ali yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) di samping wakil dari Negeri Sembilan, Kelantan dan Pahang.

Mesyuarat itu turut memutuskan untuk mengekalkan hanya enam pemain daripada skuad Sukan SEA XXVI yang hanya membawa pulang dua pingat gangsa dari Palembang, Indonesia bulan lalu.

Berbanding baki pemain lain yang kontrak mereka berakhir hujung bulan ini, mereka yang dikekalkan akan terus mengalas cabaran negara menghadapi Siri Super 2 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Palembang pada 23 hingga 26 Februari depan.

Sumber : Utusan Malaysia Online

19hb Dec 2011