Ahmad Ismail Enggan Letak Jawatan PSM

Datuk Ahmad Ismail tidak mahu melepaskan jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) walaupun didesak berbuat demikian berikutan prestasi buruk skuad negara pada Sukan SEA ke-26 di Indonesia baru-baru ini.

Beliau berkata, desakan pihak tertentu yang mahu dirinya berundur semata-mata kerana kegagalan mendapat pingat emas tidak kena pada tempatnya.

Sebaliknya, beliau meminta mereka melihat isu kegagalan skuad sepak takraw negara daripada sudut yang lebih luas.

“Apakah sukan sepak takraw sahaja yang tidak mendapat pingat emas pada Sukan SEA di Indonesia baru-baru ini. Bagaimana dengan acara sukan lain yang langsung tidak mendapat satu pingat langsung?

“Kepada mereka yang mahukan saya letak jawatan, jawapannya mudah… saya akan letak jawatan apabila skuad sepak takraw kita sudah berjaya nanti,” katanya dalam program Kerusi Panas, Bernama Radio24.

Ahmad juga berkata, Jawatankuasa Kejurulatihan Sepak Takraw akan mengkaji semula modul kejurulatihan sedia ada bagi meningkatkan lagi prestasi sukan itu.

Sumber : Bernama

26hb Nov 2011