Adnan Saidin harap akan ‘lahir’ bintang baru

Tulisan asal oleh Abdul Hafiz Ahmad (Utusan)

KUALA LUMPUR – Legenda sepak takraw kebangsaan, Adnan Saidin memuji penganjuran Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 yang disifatkannya sebagai medan terbaik untuk mencungkil bakat baru di peringkat akar umbi.

Adnan yang cukup disegani dengan jolokan ‘Raja Libas’ itu mengharapkan akan ada sekumpulan pemain muda terbaik dipilih untuk diketengahkan sebaik peringkat akhir kejohanan menutup tirainya di pusat membeli belah The Curve, Mutiara Damansara, Ahad ini.

Seperti kebanyakan peminat sepak takraw tanah air, jaguh era 80-an itu yang sudah terbatas kesabarannya melihat kejatuhan pasukan kebangsaan, tertunggu-tunggu bilakah zaman kegemilangan pasukan Malaysia yang satu ketika begitu gah akan kembali.

“Kejohanan seperti inilah pentas mencari permata baru dan digilap untuk menjadi juara dunia kelak. Saya percaya inilah masanya, peringkat akhir yang menampilkan barisan pemain terbaik dari seluruh negara.

“Janganlah sejurus tamat kejohanan, tiada usaha lanjut dilakukan. Seraplah mereka yang berpotensi mungkin ke dalam skuad pelapis kebangsaan atau program tertentu untuk mereka berkembang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Tambah Adnan, beliau ada menyaksikan sendiri kelibat pemain-pemain muda ketika menjadi tetamu jemputan di saingan Zon Utara, Julai lalu.

“Kualiti saingan tidak kurang hebatnya, saya lihat ada beberapa tekong yang agak menyerlah dengan servis cukup tajam. Saya menjangkakan saingan peringkat akhir lebih menarik hujung minggu ini,” jelasnya.

13hb Oct 2011