Acara Berpasukan Sukan SEA Dibatalkan?

Tulisan asal oleh Abdul Hafiz Ahmad (Utusan)

KUALA LUMPUR – Saiz skuad 12 pemain elit sepak takraw negara ke Sukan SEA XXVI Indonesia bulan depan, mungkin mengecil kepada lima orang, malah peluang merampas pingat emas semakin menipis gara-gara acara berpasukan lelaki yang mungkin terpaksa dibatalkan kerana hanya disertai empat negara.

Acara tertua sepak takraw Sukan SEA itu cuma mampu menarik minat tuan rumah, juara bertahan Thailand, Malaysia dan Myanmar, manakala negara Asia Tenggara lain lebih gemar menumpukan perhatian kepada antara regu dan beregu.

Menurut peraturan pertandingan Persekutuan Sukan SEA (SGF), sesebuah acara tidak boleh diadakan jika cuma disertai tiga atau empat buah negara.

Acara berpasukan pernah ditiadakan buat kali pertama pada Sukan SEA Filipina, namun Temasya 2005 itu tetap mencipta sejarah buat Malaysia apabila mengakhiri kemarau emas selepas 12 tahun dengan menewaskan Thailand 2-0 dalam perlawanan akhir antara regu.

Acara berpasukan wanita juga dikatakan bakal menerima nasib yang sama pada Sukan SEA Indonesia bulan depan.

Ia hanya disertai oleh tuan rumah; juara bertahan, Thailand dan Myanmar, malah naib juara dunia, Vietnam membuat keputusan mengejut untuk tidak menyertainya kali ini.

Sekalipun jika acara berpasukan yang diperkenalkan sejak Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 tetap diteruskan oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia 2011 (INASOC) dan SGF, pingat gangsa yang dimenangi itu tidak akan dikira dalam kedudukan pungutan rasmi keseluruhan.

Malah, jika disertai kurang daripada lima negara, sesuatu acara itu akan dijalankan menurut format liga sepusingan tanpa perlawanan akhir dan sesiapa yang menerajui kedudukan matanya secara automatik akan merangkul pingat emas.

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abdul Halim Kader berkata kepada Utusan Malaysia, semalam berkata: “Kami menyedari kekangan peraturan itu tetapi akan cuba merayu kepada Timbalan Pengerusi INASOC, Djoko Pramono untuk memberikan perhatian khas supaya acara berpasukan tetap dapat dilangsungkan.

“Kebanyakan negara didapati cuma gemar memilih acara antara regu dan beregu Sukan SEA kerana kos penghantaran atlet jauh lebih menjimatkan kerana cuma meliputi antara empat hingga lima pemain berbanding 12 orang jika bagi berpasukan.

“Negara-negara ini juga tahu peluang menang pingat emas lebih cerah tanpa Thailand dalam kedua-dua acara (sejajar dasar had monopoli Astaf sejak Sukan SEA 2009, kecuali kepada tuan rumah),’’ katanya.

26hb Oct 2011